Bersatu Merah vs Bersatu Hitam: Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu
Bersatu Merah vs Bersatu Hitam: Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu
Kuala Lumpur, MTN – Yang kalah jadi abu, menang jadi arang – itu antara ungkapan pemerhati politik yang menyifatkan pertembungan Bersatu dan juga parti Dr Mahathir Mohamad yang bakal ditubuhkan.
Pensyarah Universiti Malaya menjelaskan, hal itu kerana, kedua-dua pihak parti itu bakal kehilangan kuasa untuk melakukan tawar menawar politik dengan parti atau komponen lain sekiranya bertembung.
“Pertembungan Bersatu Merah dan ‘Bersatu Hitam’ (kumpulan Mahathir) sebenarnya tak menguntungkan kedua-dua pihak umpama yang kalah jadi abu dan menang jadi arang.
“(Ini kerana) kedua-dua pihak ini berdepan kehilangan kuasa tawar-menawar politik dengan parti atau komponen lain sekiranya bertembung.
“Baik terhadap Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR mahupun Perikatan Nasional (PN) terutama Umno,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bersatu Hitam merujuk kem bekas pengerusinya, Mahathir, manakala Bersatu Merah pula merujuk penyokong parti kepada presiden parti yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Kempen Bersatu Blackout dilancarkan Mahathir pada pertengahan Julai lalu ini selepas bekas pengerusi Bersatu dan empat MP parti itu dilucutkan keanggotaannya.
Selain Mahathir, pemimpin Bersatu yang disingkir ialah Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Amiruddin Hamzah dilucutkan apabila mereka duduk di blok pembangkang pada sesi parlimen pada 18 Mei.
Pada 19 Julai, Bersatu memecat Anggota Parlimen Sri Gading Shahruddin Salleh, kerana duduk bersama pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat.
Muhyiddin PM, Bersatu tak bermasalah
Dalam pada itu, Awang Azman tidak menolak kemungkinan bahawa Bersatu bakal mengalami masalah sekiranya terus ditekan dengan tindakan ahli-ahli parti kini yang dilihat mula tarik diri kerana ingin menyokong parti Dr Mahathir.
“Dari segi jangka panjang ia boleh mengganggu dan menggugat serta boleh melumpuhkan Bersatu dan boleh mengakibatkan Bersatu mampu bertahan hanya sehingga pilihan raya umum (PRU) 14 sahaja,” jelasnya.
Senada dengan penganalisis politik itu, pakar hal ehwal politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata tindakan ahli parti keluar beramai-ramai akan melemahkan parti.
Bagaimanapun, pada pendapatnya, selagi Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin masih menggalas jawatan tertinggi kabinet itu, Bersatu tidak akan mempunyai masalah.
“Sebagai parti yang dipimpin oleh perdana menteri, Bersatu atau apa-apa parti sekali pun pasti akan bertahan.
“Namun sememang tindakan keluar beramai-ramai itu melemahkan parti Bersatu,” katanya lagi.
Ketua Bersatu Klang Syed Abdillah Syed Abdul Aziz umum keluar parti. Sejurus selepas pengumuman Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baru berasaskan Melayu, Bersatu bagaikan dilanda gelombang pemberontakan ahli yang keluar parti.
Hal ini dapat dilihat apabila beberapa pemimpin negeri dan bahagian mula membuat pengumuman keluar Bersatu untuk menyokong parti baru yang masih tidak dinamakan dan berdaftar itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Ulya Aqamah Husamudin – yang selama ini dilihat setia kepada Dr Mahathir – turut membuat keputusan sama.
Walaupun, terdapat pemberontakan ahli Bersatu untuk menyertai parti bekas perdana menteri itu, penganalisis politik Dr Jeniri Amir berpandangan sebaliknya.
Katanya, parti yang bakal ditubuhkan Dr Mahathir itu hanya dianggap sebagai ‘pengacau’ dan tidak akan memberi kesan besar.
Ini jelasnya, kerana Dr Mahathir dianggap sudah tidak lagi relevan dalam konteks politik semasa.
“[…] Untuk kenalkan parti baru dalam waktu singkat bukannya mudah apatah lagi Dr Mahathir sudah tidak dianggap relevan lagi dari konteks politik semasa selepas dia melakukan kesilapan semasa memerintah.
“Parti ini (Dr Mahathir) boleh kita anggap sebagai pengacau dan sekadar dipinggiran dalam politik di sisi dengan adanya PAS, Umno dan Bersatu,” katanya lagi.
Sementara itu, pemerhati politik Prof Dr Rusdi Omar berkata Bersatu perlu mengambil pendekatan secepatnya untuk menyelesaikan masalah pemberontakan ahlinya.
“Mahu tak mahu, Bersatu kena cari inisiatif, pendekatan untuk menangani masalah yang berlaku sehingga menyebabkan ramai yang keluar,” katanya yang juga dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bagaimanapun, jelasnyam lagi selagi majlis pimpinan tertinggi (MPT) kekal setia dengan Bersatu, perkara ini masih boleh dibendung.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri