Israel tidak kuat, akan tumbang dengan syarat…
Israel tidak kuat, akan tumbang dengan syarat…
Kuala Lumpur, MTN – Bagaimana agaknya hidup sebagai penduduk Tebing Barat?
Tidak ada bezanya dengan keadaan penduduk kulit hitam Afrika Selatan ketika mereka dijajah oleh rejim aparteid, kata Muslim Imran.
Muslim dilahirkan, membesar dan dewasa di Tebing Barat. Dia merasai penindasan sejak kali pertama membuka mati lagi, melalui zaman kanak-kanak dan remaja di celahan runtuhan rumah saudara mara dan sahabat handainya.
Presiden Persatuan Kebudayaan Palestin Malaysia itu berkata, ia bagai hidup di dalam penjara terbesar di dunia. Lebih sedih, di bumi sendiri, setiap tingkah laku dan pergerakan mereka tidak bebas apabila sentiasa ditekan tentera rejim Zionis.
“Di Gaza, penduduk Palestin dikepung dan dihalang keluar masuk daripada kawasan itu. Di Tebing Barat, tentera Israel berada di serata wilayah.
“Kalau Perdana Menteri Palestin mahu keluar dari Ramallah ke Amman (Jordan), beliau perlu minta permit daripada Israel. Pernah ada satu menteri mati syahid ditembak tentera Israel di Ramallah,” ceritanya.
Tentera Zionis akan menyerbu masuk ke dalam mana-mana rumah yang dikehendakinya, menangkap sesiapa sahaja dengan sesuka hati dan berlaku kejam tidak kira orang tua, wanita mahupun kanak-kanak.
“Ketua Parlimen Palestin pernah ditangkap dan dipenjarakan lima tahun. Mereka tak peduli siapa.”
Apabila sudah diperlakukan sewenang-wenangnya, siapa yang dapat terus berdiam? Maka rakyat Tebing Barat bangkit menentang, walaupun tidak memiliki senjata yang dapat menandingi kecanggihan kelengkapan perang Israel.
Kematian sudah pasti menjadi kelaziman dalam penentangan. Kata Muslim, minggu ini sahaja 22 nyawa penduduk Tebing Barat telah gugur syahid. Bayangkan berapa ramai yang telah pergi sebelum ini dan berapa lagi pada masa mendatang.
Walaupun sudah berpuluh tahun penjajahan dan penjarahan berlanjutan di bumi Palestin, Muslim percaya tidak lama lagi ia akan berakhir, dan sekarang adalah waktu terbaik untuk bertindak.
Ini kerana, berdasarkan pembacaan dan pemerhatiannya, Israel kini sebenarnya berada dalam keadaan yang lemah dan kritikal.
“Israel tidak kuat. Walaupun mereka adalah kuasa nuklear dan banyak senjata, tetapi Israel juga berdepan banyak masalah sendiri.
“Mereka ada masalah politik. Kalau kita lihat dalam masa dua tahun sahaja, Israel sudah ada empat pilihan raya dan sampai sekarang mereka tidak boleh membina koalisi kerajaan yang stabil.”
Selain itu, negara itu juga berdepan masalah ekonomi. Akibat perangai durjana mereka itu, pelaburan dari luar semakin merosot dan sektor pelancongan tentu sekali ranap. Seperkara lagi yang menjadi masalah paling utama adalah ketegangan sosial.
“Israel adalah rejim aparteid yang menindas bukan sahaja umat Islam atau Kristian di Palestin, tetapi juga terhadap kaum Yahudi dari luar, dari Afrika dan negara-negara Arab sekitar. Ketegangan berlaku antara kumpulan beragama dan yang tidak beragama.
“Kenapa (Benjamin) Netanyahu tidak berjaya bina satu koalisi yang stabil? Kerana kumpulan-kumpulan politik kanan yang sekular tidak mahu bekerjasama dengan kumpulan politk yang bukan sekular.”
Muslim yakin, tidak lama lagi rejim Zionis Israel ini akan jatuh, sama seperti tumbangnya aparteid di Afrika Selatan dan rakyat Palestin akan terus berjuang mempertahankan tanah air mereka untuk mempercepatkan ketibaan hari itu.
Ia dengan syarat, seluruh dunia khususnya negara-negara Islam perlu benar-benar bersatu mendesak jenayah besar-besaran dan terang-terangan ini dihentikan buat selamanya. [AA]
Author Profile
Latest entries
- Seni & HiburanNovember 14, 2024Siti Nurhaliza dinobat Biduanita Negara – ASN 2024
- NationalNovember 14, 2024Pendedah maklumat utus surat terbuka pada YDPA
- NationalJuly 4, 2024Kuala Lumpur Fashion Week 2024 – Taman KLCC
- NationalJuly 3, 2024RM699 juta bina Hospital wanita dan kanak-kanak di Melaka