Jabatan Perdana Menteri Dan Felda Ditegur Ketua Audit Negara | Malaysia News

Jabatan Perdana Menteri dan Felda Ditegur Ketua Audit Negara

Jabatan Perdana Menteri dan Felda Ditegur Ketua Audit Negara

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 (LKAN 2018 Siri 3) menegur Jabatan Perdana Menteri dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam dua projek menaik taraf sistem bekalan air Felda kerana tidak dilaksanakan secara berhemat, cekap dan berkesan.

Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, kedua-dua projek tersebut juga tidak disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana kajian awal tidak dirancang secara menyeluruh.

Projek pertama adalah menaik taraf sistem bekalan air di seluruh negeri Pahang bagi tempoh 45 bulan mulai Mac 2013 hingga September 2016.

Manakala projek kedua adalah menaik taraf sistem bekalan air Felda di seluruh negara bagi tempoh 36 bulan mulai Januari 2016 hingga Disember 2018.

Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM621 juta sehingga tahun 2018 untuk pelaksanaan projek berkenaan.

“Kelewatan ini menyebabkan matlamat untuk mengurangkan gangguan bekalan air dan perolehan bukan air (NRW) tidak berhasil.

“Bagi aspek pengurusan projek pula, terdapat kelemahan dalam prestasi kewangan pengurusan nilai, pentadbiran kontrak, peruntukan kerja-kerja awalan, kualiti kerja pembinaan dan pemantauan,” katanya semasa sidang media LKAN 2018 Siri 3 hari ini.

Antara dapatan yang ditemui semasa proses audit adalah kegagalan Loji Rawatan Air Bukit Sagu di Pahang yang bernilai RM17.63 juta untuk beroperasi telah mengakibatkan kehilangan peralatan bernilai RM86,000.

Selain itu, penyusupan tebing (river bank filtration) bagi Pakej 80 berjumlah RM6.89 juta juga gagal membekalkan sumber air mengikut kapasiti secara konsisten.

LKAN 2018 Siri 3 juga mendapati pembekalan tujuh kenderaan berjumlah RM0.92 juta bertentangan dengan peraturan selain pembayaran tidak teratur kepada kontraktor berjumlah RM706,400 bagi item pejabat tapak yang digabungkan.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply