Melewatkan Peralihan Kuasa Hanya Akan Memudahkan BN Kembali Berkuasa | Malaysia News

Melewatkan Peralihan Kuasa Hanya Akan Memudahkan BN Kembali Berkuasa

Melewatkan Peralihan Kuasa Hanya Akan Memudahkan BN Kembali Berkuasa

Sebelum PRU14, semua orang yang menyokong PH sedar bahawa jika menang PRU14, Tun Mahathir Mohamad hanya akan memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun saja.

Ketika mengundi logo PKR yang mewakili PH dalam PRU14, pengundi juga sedar bahawa Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri interim sebelum beliau harus menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim.

Sebelum PRU14 juga, keinginan rakyat menumbangkan BN dan menjadikan PH sebagai kerajaan bukanlah disebabkan ghairah mahu Tun Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Keinginan yang paling tinggi ialah untuk menjatuhkan Najib Razak daripada persada kuasa yang dipegangnya sejak 2009.

Keinginan kedua tertinggi ialah untuk mengangkat Anwar sebagai PM8 berdasarkan sumbangannya menubuhkan PKR dan menggabungkan kekuatan pembangkang sejak 1998 lagi.

Terpilihnya Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sebelum PRU14 adalah semata-mata kerana Anwar ketika itu berada di penjara dan untuk itu, seorang calon Perdana Menteri sementara mesti dicalonkan.

Berdasarkan gelombang penolakan rakyat kepada BN ketika itu, keberadaan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri tidak lebih hanya sebagai nilai tambah saja, bukan faktor wajib yang membuatkan PH dapat mengalahkan BN.

Dalam hal ini, Majlis Presiden sebagai badan tertinggi kepada gabungan parti-parti dalam PH yang kini sudah menjadi kerajaan mestilah sedar hakikat tersebut dan tidak terlalu alpa dengan jawatan yang masing-masing sandang dalam kerajaan.

Kalau sebelum PRU14, semua perkara boleh dibincang dan dirunding bersama sebelum sesuatu keputusan diumumkan, pendekatan itu mestilah dikekalkan sampai bila-bila.

Tun Mahathir sebagai Pengerusi PH, walaupun memegang jawatan Perdana Menteri yang hampir semua kuasa berpusat kepadanya, tidak harus dibiarkan sesuka membuat keputusan mengikut kehendak hatinya.

Sebab itu, apabila tiba-tiba Tun Mahathir mengumumkan ingin berkuasa sehingga selesai Sidang APEC di Kuala Lumpur pada November 2020, pengundi dan penyokong bawahan PH terlihat amat sukar menerima hakikat tersebut.

Ini kerana yang mereka faham, Tun Mahathir adalah Perdana Menteri sementara untuk tempoh kira-kira dua tahun saja sebelum perlu menyerahkan jawatan itu kepada Anwar dan tidak wajar melengah-lengahkan peralihan kuasa dan tentu sekali paling tidak dapat diterima jika janji itu mahu dikhianati sama sekali.

Kegagalan Majlis Presiden menangani isu peralihan kuasa ini sebagaimana yang difahami oleh penyokong di peringkat bawahan dan akar umbi, ia dengan sendirinya akan menghakis keyakinan mereka kepada PH secara keseluruhannya.

Logik mereka mudah saja, kalau janji dengan seorang individu iaitu Anwar pun gagal dilaksanakan oleh PH sebagaimana yang dipersetujui dan dimanifestokan, apatah lagi dengan janji-janji yang lain?

Apabila rakyat hilang keyakinan kepada PH, ruang akan menjadi lebih terbuka kepada BN untuk menang semula pada PRU yang akan datang.

Apa jadi kalau BN menang semula PRU15 akan datang?

Berbeza dengan kalahnya BN pada PRU14 lalu adalah kerana keinginan pengundi untuk menjatuhkan Najib, tetapi kalau pengundi menumbangkan PH pada PRU15 akan datang, faktornya adalah kerana hilangnya keyakinan mereka kepada PH.

Disebabkan faktor tersebut, ia adalah alamat paling buruk buat PH kerana jika gabungan itu ingin berkuasa semula, ia akan memakan masa selama 60 tahun lamanya.

Dan ketika itu, para pemimpin PH yang sebelumnya gah dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan, bukan saja tidak lagi dipedulikan rakyat, malah akan terus tersisih dalam tempoh yang amat lama, tidak mustahil sehingga kematian menjemput mereka.

Bagi rakyat dan pengundi, dengan tidak berani bersuara mempertahankan janji kepada Anwar, para pemimpin PH dilihat lebih mudah terlena dengan jawatan dan kedudukan berbanding mengisi perjuangan.

Sekali rakyat dan pengundi hilang keyakinan, memulihkannya pasti akan memakan masa yang lama.
(ShahbudinHusin 16/12/2019)

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply