METMalaysia Akan Terus Memantau Aktivitas Gempa Dan Mengeluarkan Peringatan Dini Tsunami | Malaysia Top News
January 16, 2021

METMalaysia akan terus Memantau Aktivitas Gempa dan Mengeluarkan Peringatan Dini Tsunami

Kuala Lumpur, MTN – Mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian tsunami yang melanda beberapa negeri di utara Semenanjung pada 26 Dis 2004, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan terus bertindak proaktif memantau aktiviti gempa bumi serta mengeluarkan amaran awal tsunami di negara ini.

Menurut kenyataan METMalaysia dalam artikelnya bertajuk ‘Gempa Bumi Dan Tsunami-Bersediakah Kita?’, fenomena gempa bumi dan tsunami merupakan bencana yang tidak dapat diramal, namun impaknya sangat besar sehingga boleh meragut ratusan ribu nyawa selain mampu mengubah geografi muka bumi.

“Jika diimbau kembali tragedi yang berlaku lebih 15 tahun lepas, ramai tidak menduga negara yang kita sayangi ini boleh dilanda tsunami buat pertama kali pada 26 Dis 2004, ombak pemusnah tercetus apabila berlaku gempa bumi dengan magnitud 9.1 di pantai barat laut Sumatera menghasilkan tsunami merentas lautan yang dikenali sebagai Tsunami Lautan Hindi 2004.

“Ombak tsunami ini telah menjejaskan 16 negara berhampiran Lautan Hindi dan mengorbankan hampir suku juta nyawa di 14 negara dan antara negara yang terkesan hebat akibat bencana alam ini adalah Indonesia yang mencatatkan jumlah korban tertinggi iaitu 165,708 diikuti dengan 35,399 kematian di Sri Lanka dan 16,389 korban di India,’’ menurut kenyataan itu.

Berikutan peristiwa tsunami 2004 itu, resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 22 Dis 2015, memilih 5 Nov setiap tahun sebagai ‘Hari Kesedaran Tsunami Sedunia’ atau World Tsunami Awareness Day (WTAD).

Sehubungan tragedi itu, METMalaysia telah membangunkan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) pada 2005, yang tujuan utama penubuhannya untuk mengeluarkan amaran awal tsunami yang efektif dan cepat kepada orang awam.

Menurut kenyataan itu, amaran itu dikeluarkan sekiranya berlaku tsunami di Lautan Hindi, Laut Andaman, Laut China Selatan, Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Lautan Pasifik yang berkemungkinan menjejaskan negara.

METMalaysia berkata SAATNM berperanan menerusi tiga komponen iaitu pengumpulan data, pemprosesan data dan penyebaran.

Menurutnya, komponen pengumpulan data berfungsi memantau elemen-elemen pada masa nyata (real time) seperti rangkaian 77 stesen seismologi tempatan serta antarabangsa yang diakses melalui Global Seismic Network (GSN) dan rangkaian 17 stesen tolok pasang surut tempatan serta rangkaian pemantauan paras laut antarabangsa.

Selain itu, SAATNM turut memantau rangkaian 18 stesen kamera pantai, buletin gempa bumi tsunami dari Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC), agensi Meteorologi Jepun (JMA) dan Pusat Perkhidmatan Tsunami (TSP) iaitu di Australia, India dan Indonesia.

Advertisement

‘’Komponen pemprosesan data pula merupakan aplikasi dan perisian pemprosesan data seismik serta pemodelan tsunami.

“Aplikasi pemprosesan secara automatik data seismik yang digunakan di METMalaysia dikenali sebagai aplikasi Seiscomp3 dan Antelope bagi menentukan parameter seperti pusat gempa, kedalaman dan kekuatan (magnitud) sesuatu gempa bumi yang berlaku dalam atau luar Malaysia,’’ tambahnya.

Komponen penyebaran yang turut dikenali sebagai sistem penyampaian dan hebahan itu, akan mengeluarkan maklumat atau buletin gempa bumi dan amaran awal tsunami kepada orang awam serta agensi pengurusan bencana melalui pelbagai saluran komunikasi.

“Antara saluran komunikasi ini termasuk sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel, faks, hebahan di laman web, aplikasi myCuaca, radio dan televisyen serta kenyataan akhbar.

“Informasi yang sama juga boleh diakses di media sosial rasmi METMalaysia termasuk Facebook, Instagram dan Twitter, selain hebahan di televisyen sebanyak tiga kali sehari oleh penyampai METMalaysia bagi memastikan orang awam mendapat maklumat yang terkini, tepat dan sahih,” katanya.

Menurut kenyataan itu, SAATNM kini turut dilengkapi dengan sistem pemprosesan yang dinamakan Advanced Decision and Dissemination Malaysia Seismic and Tsunami Information System (ADMIS), yang mula dibangunkan sejak Ogos 2017, yang sistem itu mampu menyebarkan maklumat gempa bumi kepada agensi pengurusan bencana dan orang awam dalam tempoh lapan minit dari masa gempa bumi dikesan.

METMalaysia berkata kesemua usaha tersebut bagi memastikan aspek pemantauan gempa bumi dan tsunami di Malaysia selaras dengan perkembangan teknologi terkini bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman gempa bumi dan tsunami di masa hadapan.

‘’Tanggal 5 Nov setiap tahun turut dipilih sebagai ‘Hari Kesedaran Tsunami Sedunia’ atau World Tsunami Awareness Day (WTAD) berdasarkan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 22 Dis 2015, bertujuan untuk memupuk kesedaran, moraliti dan kesiapsiagaan setiap negara di peringkat antarabangsa terhadap bencana tsunami.

‘’Sempena WTAD kali ini, METMalaysia menyeru agar kita bersama-sama bersiap sedia bagi menghadapi sebarang situasi andai bencana gempa bumi dan tsunami berlaku di negara kita pada masa akan datang,” katanya.

 

[bernama]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •