KONGRES PKR | Dua pemuda daripada kumpulan berbaju hitam yang ditemui di Kongres Pemuda PKR (AMK) memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dijanjikan bayaran untuk hadir ke acara itu di Melaka.
Bagaimanapun mereka tidak menyatakan secara terperinci berkenaan pihak yang menjanjikan perkara itu.
Danial Iskandar, 21, berkata dia ke Melaka dengan menaiki bas dari Perak bersama kumpulan yang diketuai seorang individu dikenali sebagai “Abang Merul”.
“Abang Merul (yang bawa). Sebab nak tengok reformasi, dia cakap ada reformasi… Dia cakap ada kerja (di Melaka),” katanya ketika ditanya Malaysiakini.
Ketika ditanya sama ada dia akan mendapat bayaran, Danial berkata mungkin akan menerimanya selepas acara itu berakhir.
“Dia kata (acara berlangsung) tiga hari kalau tak silap,” katanya lagi.
Mengakui dia tidak memiliki pas untuk menyertai kongres PKR, Danial bagaimanapun dilihat tidak risau akan perkara itu, dengan berkata ia diuruskan oleh pihak yang membawanya.
Terdahulu, kira-kira 200 orang – kebanyakannya lelaki berpakaian hitam dengan logo PKR – dilihat memenuhi bahagian belakang dewan ketika kongres AMK sedang berlangsung.
Kawasan itu ditutup daripada dimasuki hadirin yang lain.
Sejumlah daripada mereka turut dilihat terlibat dalam pergaduhan dengan kumpulan yang memakai baju korporat PKR berwarna biru muda, di dalam bangunan Melaka International Trade Centre (MITC) – tempat kongres berlangsung – dan juga di luar.
Kumpulan berbaju hitam itu dikatakan hadir sebagai pemerhati.
Antara punca pegaduhan adalah apabila beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju hitam yang tidak memiliki pas dikatakan dibenarkan masuk.
Beberapa pemuda berbaju hitam yang ditemu bual Malaysiakini tidak jelas dengan tujuan mereka menyertai perhimpunan berkenaan.
Seorang lagi pemuda yang ditemui, Syami Isyak, 21, memberitahu Malaysiakini bahawa dia bukan perwakilan mahupun anggota AMK tetapi hadir kerana “diberi kerja” untuk duduk di dalam dewan.
“Hari ini datang sebab ada ‘job’. Mereka bagi ‘job’, kita datanglah. Mereka kata duduk saja (di dewan tempat berlangsungnya kongres AMK).
“Duduk saja, sebab itu saya tak campur (ketika pergaduhan berlaku),” katanya ketika ditemui di luar dewan itu.
Seperti Danial, Syami juga bertolak dari Kuala Lumpur awal pagi ini tetapi berkata tidak tahu pihak yang mengupah mereka untuk ke Melaka.
“Mereka tak beriahu (jumlah bayaran) tapi saya terima (kerja) sebab mereka kata dapat duit,” katanya lagi, yang berkata dia hanya perlu hadir ke kongres pada hari ini sahaja.
Berdasarkan perbualan rawak dengan sejumlah belia, mereka berkata datang daripada Johor Bahru, Rembau dan Port Dickson.