Pilihan Raya Memang Satu-Satunya Penyelesaian Terbaik | Malaysia News

Pilihan Raya Memang Satu-Satunya Penyelesaian Terbaik

Pilihan Raya Memang Satu-Satunya Penyelesaian Terbaik

Kuala Lumpur, MTN – Daulat Tuanku, pertama-tamanya ingin dirakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada DYMM Sultan Johor atas amaran baginda mahu membubarkan DUN Johor bagi diadakan pilihanraya negeri jika pertelingkahan politik berterusan di negeri itu.

Melalui catatan di laman Facebooknya, DYMM Sultan Johor bertitah, baginda tidak akan membiarkan politik Johor berterusan dikucar-kacirkan.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.

“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda lagi.

Sesungguhnya titah DYMM Sultan Johor ini adalah amat bijaksana dan tepat untuk menyelesaikan kemelut politik Johor daripada terus berpanjangan.

Oleh kerana kedudukan majoriti di DUN Johor sekarang adalah tipis iaitu 29-27, ini dengan sendirinya menyebabkan ketidakstabilan dan gejala lompat-melompat boleh berlaku dan berterusan pada bila-bila masa.

Dengan demikian, hanya pilihanraya negeri saja penyelesaian terbaik bagi mengembalikan kestabilan serta memastikan ahli-ahli politik, baik yang bersama kerajaan atau pembangkang benar-benar dapat menumpukan khidmat kepada rakyat dalam aktiviti seharian mereka selepas ini.

Selagi kedudukan majoriti adalah tipis, selagi itulah soal berebut kuasa, melobi dan merangsang aktiviti melompat parti tidak terhenti.

Dalam konteks yang sama, disebabkan kedudukan majoriti kerajaan PN di Pusat juga sekitar satu atau dua undi iaitu mirip dengan Johor dan aktiviti berebut kuasa tidak ternampak akan terhenti begitu saja, pilihanraya umum secara mengejut di peringkat Parlimen juga wajar diadakan.

Meskipun DYMM Yang Dipertuan Agong tidak bersuara apa-apa mengenai keadaan politik negara setakat ini, tetapi Muhyiddin Yassin boleh mengambil pedoman daripada titah DYMM Sultan Johor dalam menyelesaikan kemelut politik di peringkat Pusat yang sudah berlarutan sejak sekian lama ini.

Lagi pula, Muhyiddin tentu sedar selain usul undi tidak percaya bakal dibentangkan terhadapnya pada Sidang Parlimen Julai nanti, Tun Mahathir Mohamad turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti sepanjang masa daripada menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

Ini memberi gambaran bahawa selain melalui usul undi tidak percaya, penolakan terhadap usul, rang undang-undang dan Belanjawan 2021 Oktober depan di Parlimen juga merupakan pilihan yang akan dilakukan.

Tidak cukup dengan itu, usaha mengumpul kekuatan dan menarik Ahli-Ahli Parlimen PN untuk berpaling tadah menumbangkan kerajaan barang sudah tentu sentiasa akan dipertingkatkan daripada semasa ke semasa.

Akhirnya, dengan semua kekalutan itu, harus disedari kerajaan tidak mungkin mampu berfungsi dengan sebaik-baiknya dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Dalam hal ini, Muhyiddin harus sedar bahawa satu-satunya jalan penyelesaian dalam kemelut politik ini ialah dengan mengadakan pilihanraya dengan seberapa segera.

Meskipun jika kerajaan ditumbangkan atau kalah dalam usul undi tidak percaya, Muhyiddin berhak memohon kepada Agong agar Parlimen dibubarkan, beliau sebenarnya tidak patut menunggu sehingga ke peringkat itu baru mahu bertindak untuk mengadakan pilihanraya.

Adalah terpuji jika Muhyiddin dapat segera memohon kepada DYMM Yang Dipertuan Agong agar Parlimen dibubarkan secepat yang mungkin supaya pilihanraya dapat diadakan dalam waktu terdekat ini.

Lagi dilengahkan lagi kalut politik dan rakyat dibuatnya.

Selepas pilihanraya dan kerajaan baru terbentuk, ketidaktentuan, kekalutan dan pertikaian mengenai keabsahan kerajaan dengan sendirinya tidak akan berbangkit lagi. (Shahbudindotcom) 

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply