Politik Papan Tanda Dan Konvoi Kerabat - Jet Eksekutif PM Ismail Sabri | Malaysia News

Politik papan tanda dan konvoi kerabat – Jet Eksekutif PM Ismail Sabri

PM Ismail Sabri - Rombongan Private Jet

Politik papan tanda dan konvoi kerabat – Jet Eksekutif PM Ismail Sabri

MTN – Beberapa puluh tahun silam, di sebuah kawasan pedalaman Kedah. Seorang menteri datang ke sebuah kampung pada malam hari untuk bertemu dengan orang ramai. Mereka adalah sebahagian daripada pengundi di kawasannya.

Tidak dapat dipastikan sama ada kunjungan berkenaan adalah untuk berkempen atau sebaliknya. Tetapi ia adalah lawatan santai untuk mengambil hati pengundi.

Sebelum sampai ke tempat majlis yang rasmi, menteri terbabit singgah di sebuah kedai kopi. Bagi kamu yang bercita-cita menjadi badut politik, kedai kopi atau kedai makanan adalah lokasi yang wajib dikunjungi. Di situ kamu perlu berbasa basi dan pura-pura prihatin, dan kemudian belanja semua orang yang ada.

Selepas itu separuh daripada masalah kamu untuk pilihan raya akan datang bolehlah dianggap selesai.

Kedai kopi, kedai minum, restoran atau yang seumpamanya adalah atur cara tidak rasmi yang bertaraf rukun dalam lawatan orang politik.

Apabila sampai giliran untuk berucap, ahli parlimen merangkap menteri itu pun menceritakan bagaimana dia amat mengagumi kopi O yang dihidangkan kepadanya di kedai minum tadi. Dia memuji-muji kopi dan kedai minum tersebut.

Tanpa diduga, dia pun mengarahkan pegawainya membeli serbuk kopi berkenaan untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Dan sudah tentu semasa memuji-muji kopi, kedai kopi, orang kampung dan dirinya sendiri itu, ahli parlimen berkenaan akan menggunakan bahasa tempatan yang pekat.

Nah, itu juga satu rukun untuk sesiapa mahu menjadi badut politik. Bukan badut biasa-biasa atau sia-sia. Badut politik ialah langkah politik jangka panjang. Menjadi pandir untuk sejam dua di kawasan pengundi sendiri, dan menjadi raja untuk 22 jam selebihnya sesudah itu.

Semuanya tentang mengampu

Di luar kawasan mengundi sendiri, dia tidak perlu menjadi badut lagi. Boleh pakai pelitup muka berharga ratusan atau ribuan setiap keping, misalnya. Tak pernah rugi. Kalau hilang jawatan atau kerusi, barulah rugi.

Apabila selesai majlis berkenaan, menteri terbabit tersenyum lebar dan amat ramah semasa meminta diri. Dia masuk ke keretanya dengan rasa yang puas. Dia sudah menawan hati orang kampung.

“Mana kopi tadi?” tanya ahli parlimen berkenaan kepada pegawainya serta seorang pemimpin parti peringkat cawangan yang turut ada dalam kereta tersebut.

Bungkusan serbuk kopi itu pun ditunjukkan kepada menteri berkenaan.

“Takpa, hangpa semua ambiklah,” katanya diiringi dengan senyuman.

Ia diceritakan oleh seorang pesara guru yang pernah menjadi orang kuat menteri terbabit. Khabarnya dia sendiri ada dalam kenderaan berkenaan.

Demikianlah politik ‘keluarga Malaysia’ ini barangkali. Selamanya hanya bermatlamatkan saling membela antara pemimpin dan rakyat. Sila baca perkataan “membela” itu dengan ‘e’ pepet, bukannya ‘e’ taling.

Dari sehari ke sehari politik kita berkisar tentang pengampu yang akan berusaha bermati-matian untuk menggembirakan pemimpin, dan pemimpin pula dari semasa ke semasa gigih untuk menyeronokkan penyokong.

Ia berlanjutan dari satu peringkat ke peringkat lain seumpama lingkaran sumpahan kecelakaan yang tidak akan pernah menemui penamatnya. Dan semua orang akan disibukkan dengan program-program mengipas dan menggaru belakang orang yang berkepentingan.

Justeru tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ‘rombongan’ yang mengiringi perdana menteri melawat petempatan yang dilanda kepala air itu wajib mengejutkan kita.

Bukanlah kerana jumlah orang politik yang ikut serta dalam penerbangan berkenaan terhad, atau bilangan kenderaan yang menyertai konvoi bersama pedana menteri itu begitu banyak.

Bahkan ia sepatutnya lebih banyak. Lebih afdal jika diangkut semua ahli parlimen penyokong kerajaan untuk berkumpul di Yan. Kalau perlu, sewa saja sebuah pesawat udara MAS khas untuk mengangkut mereka.

Kekal tidak koyak

Kenderaan yang ada di depan dan belakang perdana menteri yang menjalar di atas jalan tar pula biar bertali arus sebanyak mungkin. Kalau boleh, tutup segala jalan yang ada di sekitar Yan lima enam jam agar kereta orang kenamaan tersebut boleh diparkir di mana-mana tempat yang dimahukan, waima di tengah jalan.

Papan tanda mengalu-alukan kedatangan perdana menteri pula biar terpampang lebih banyak. Pedulilah sama ada tempat itu strategik atau tidak. Selagi ada ruang, naikkan.

Paling tidak, naikkan di sepanjang laluan dari lapangan terbang hingga ke Titi Hayun itu.

Usah ditakuti kata orang lain. Kalau ada yang mengumpat atau mengacum, pemimpin kerajaan dan penyokong pasrah saja untuk seketika. Dalam beberapa saat selepas itu pasti akan muncul para agamawan politik – atau tukang sertu – untuk mensakralkan semua tindakan yang berkenaan.

Sesetengahnya pula memang pandai bergurau dan menghasut maya.

Dan dalam hal ini kita boleh berbangga kerana ternyata orang politik kita lebih kental semangatnya daripada Zionis. Hal itu kerana biarpun dikutuk, dikecam, digelakkan atau apa pun, ahli politik ini kekal kental dan tidak koyak perasaannya.

Lagi pun, bila lagi nak tunjuk kasih sayang kita kepada pemimpin, kan? Aokme jangaen dengki, kita ni bukan orang lain… puok kerabok belake.

Siapa lagi yang boleh menggembirakan adik-beradik kalau bukan adik-beradik juga. [MK]

—————————————————————————————————————————-

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pernah berkunjung ke Batu Hampar di Yan lama sebelum tahu kewujudan Lubuk Tupah.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply