Rusia-Ukraine War – Lebih 12,000 askar Rusia telah terbunuh
Rusia-Ukraine War – Lebih 12,000 askar Rusia telah terbunuh
Rusia memasuki rundingan dengan Ukraine hanya beberapa hari setelah ia menyerang negara itu.
Namun, para pakar menyatakan bahawa rundingan yang sedang berlangsung itu tidak mungkin menghasilkan kemajuan sehingga satu pihak merasa ia mempunyai kekuatan di medan perang.
Percubaan terbaharu untuk menghentikan pertumpahan darah melalui rundingan telah diadakan antara Menteri Luar Rusia dan Ukraine yang duduk berbincang pada Khamis lalu di bandar peranginan Turki, Antalya.
Walaupun rundingan itu gagal mencapai kata sepakat, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyatakan pada Sabtu lepas terdapat pendekatan yang sangat berbeza dari Rusia manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa ada beberapa perubahan positif hasil daripada rundingan tersebut.
Para pakar menyatakan bahawa pendekatan Rusia setakat ini ialah ia menegaskan bahawa Ukraine perlu bersetuju untuk melakukan demiliterisasi, melepaskan cita-citanya untuk bergabung dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan mengakui tuntutan wilayah Rusia di Ukraine timur.
Namun, Ukraine menolak tuntutan itu.
“Ia kelihatan seperti satu kebuntuan kerana Rusia masih berharap bahawa Ukraine akan menerima tuntutannya,” kata Oleg Ignato iaitu pakar Rusia untuk sebuah kumpulan pemikir, International Crisis Group (ICG).
“Kedua-dua pihak menganggap senario ketenteraan sebagai senario utama. Ukraine tidak kalah dalam perang ini dan Rusia tidak memenangi perang ini,” ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.
Natia Seskuria yang merupakan pakar Rusia di Royal United Services Institute (RUSI), iaitu sebuah badan pemikir Britain pula menyatakan adalah sukar untuk membayangkan perang itu dapat diselesaikan melalui pendekatan diplomatik atau gencatan senjata sementara.
Ia sukar dicapai ketika kedua-dua pihak saling berbalah tentang koridor kemanusiaan yang merupakan laluan untuk penduduk Ukraine berpindah ke tempat yang lebih selamat dan tidak terperangkap dalam serangan antara tentera Rusia dengan pasukan keselamatan negara tersebut.
“Saya berpendapat bahawa ketika ini Rusia berusaha mencapai tujuan utamanya di Ukraine dan jika Moscow dapat memaksa Ukraine duduk di meja diplomatik untuk menerima syarat tersebut maka tentu saja Rusia akan mendapat apa yang diinginkannya.
“Namun, jika Moscow tidak dapat melakukannya, maka perang akan berlanjutan,” ujarnya.
DIPLOMATIK
Michel Duclos yang merupakan bekas duta Perancis ke Syria dan sekarang berkhidmat di Montaigne Institute iaitu sebuah badan pemikir yang berpusat di Paris bersetuju bahawa penyelesaian secara diplomatik adalah kepentingan kedua pada masa ini berbanding dengan apa yang berlaku di medan perang.
Tentera Rusia dipercayai mengalami kerugian dan korban jiwa yang besar dengan Zelenskyy mendakwa pada Sabtu lalu bahawa lebih 12,000 askar Rusia telah terbunuh.
Bagaimanapun, tentera Rusia terus mara dari selatan, timur dan sekitar ibu kota Kiev.
Moscow mempunyai konsep diplomasi yang membuat pihak lain untuk mematuhinya dan ia seperti diplomasi kata dua, kata Duclos.
Perbincangan di Turki yang diadakan baru-baru ini hanyalah bertujuan untuk mencetuskan kekeliruan untuk dunia luar dan Ukraine, katanya.
Seskuria pula menyatakan bahawa rundingan itu adalah untuk memperkuatkan alasan kenapa Putin melancarkan perang di Ukraine.
Ini adalah kerana Moscow tidak mempunyai alternatif lain lagi disebabkan oleh ancaman yang telah ditimbulkan oleh Ukraine.
“Rusia juga mahukan helah yang menunjukkan ia telah cuba melakukan diplomasi tetapi diplomasi itu gagal kerana Ukraine tidak bersedia menerima tuntutan Moscow. Itulah sebabnya Rusia perlu meneruskan pilihan ketenteraan,” katanya.
Duclos yakin Moscow mungkin mahu satu format baharu perbincangan diadakan mengenai Ukraine.
Menurut beliau, rundingan baharu itu kemungkinan mengikut model apa yang dikenali sebagai ‘Proses Astana’ yang berusaha untuk menamatkan perang saudara di Syria.
Proses Astana itu melibatkan Rusia, Iran dan Turki.
Proses damai Astana itu telah dilancarkan pada Januari 2017 oleh Rusia dan Iran, sekutu-sekutu rejim Damsyik dan Turki yang menyokong kumpulan pemberontak.
Ia dilaksanakan selepas campur tangan Rusia di Syria.
Pendekatan seperti itu akan memiliki kelebihan bagi memberikan kesan bahawa proses perdamaian masih ada dan ia tidak tidak melibatkan Barat, kata Duclos. [SH]
Author Profile
Latest entries
- Seni & HiburanNovember 14, 2024Siti Nurhaliza dinobat Biduanita Negara – ASN 2024
- NationalNovember 14, 2024Pendedah maklumat utus surat terbuka pada YDPA
- NationalJuly 4, 2024Kuala Lumpur Fashion Week 2024 – Taman KLCC
- NationalJuly 3, 2024RM699 juta bina Hospital wanita dan kanak-kanak di Melaka