Sepatutnya Hadi Awang sokong media pendedah rasuah, bukan sebaliknya
Sepatutnya Hadi Awang sokong media pendedah rasuah, bukan sebaliknya
Sepatutnya Abdul Hadi Awang memuji wartawan yang bebas melaporkan kes-kes rasuah. Bukan sebaliknya.
Sepatutnya Abdul Hadi memberikan sokongan kepada media yang mendedahkan salah guna kuasa, bukan mengggunakan hadis atau al-Quran untuk menghukum pendedahan membabitkan individu berkuasa.
Abdul Hadi sebagai ulama sepatutnya menyarankan kepada perdana menteri agar menggantung tugas mana-mana individu yang dikaitkan dengan penyelewengan sementara menanti proses siasatan adil berjalan.
Jika ada kes, ia perlu segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang di mahkamah.
Suara Abdul Hadi mudah didengar dan dipercayai oleh Ismail Sabri Yaakob kerana pandangan bernas nya.
Malangnya Abdul Hadi mengambil sikap tidak munasabah apabila mempertikaikan laporan media tentang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengizinkan adiknya membeli saham menggunakan akaunnya.
Sesuai dengan status diplomat
Umumnya media hanya melaporkan bukti-bukti yang ada: Pembelian saham memang ada, guna nama orang lain untuk beli saham memang wujud. Cuma wartawan tidak boleh membuktikan wang yang digunakan untuk pembelian itu milik adik atau abang.
Isu ini menarik perhatian massa apatah lagi dikaitkan individu profil tinggi agensi kerajaan.
Sikap Abdul Hadi amat pelik dan luar biasa apabila dia tidak seronok wartawan mendedahkan isu yang ada kepentingan awam. Adalah kewajaran media untuk melaporkan sesuatu isu yang boleh memberi kesan kepada kerajaan yang Abdul Hadi sokong.
Perbuatan rasuah dan salah guna kuasa adalah bercanggah dengan prinsip ajaran Islam. Abdul Hadi yang kelilingi ulama lain dalam partinya dan kerajaan wajar tegas bersuara kerana Islam mengutamakan amar maaruf nahi mungkar.
Rasuah adalah perbuatan mungkar seperti meminum arak, berjudi, menyembah berhala dan bertenung nasib.
Abdul Hadi wajar kesipuan apabila melihat banyak negara sekular bahkan memiliki tahap integriti tinggi, dan pada masa sama mempunyai kadar rasuah yang amat rendah.
Adakah Abdul Hadi tidak sedar bekas perdana menteri Malaysia yang dulu menjadi sekutu rapat PAS sudah dihukum 12 tahun penjara kerana salah guna kuasa?
Senarai negara ‘kotor’
Adakah Abdul Hadi tidak sedar banyak kawasan hutan di Lojing dan Gua Musang kian gondol dan menakutkan, malah mungkin suatu hari nanti Kelantan tidak mempunyai banyak bezanya dengan Pahang dalam kesangsian isu pembalakan haram?
Ada negara yang melaksanakan hukuman mati terhadap perasuah dan salah guna kuasa. China tegas dalam isu ini tetapi gagal menghentikan amalan yang sudah membudaya di negara itu.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 oleh Transparency International, China menduduki tempat ke-78 paling kotor dalam kalangan 180 negara yang diselidik.
Sebagai bandingan, Malaysia yang tiada hukuman mati untuk pesalah rasuah berada di tempat ke-57. Atau dalam kata lain, 21 tempat di depan China.
Semua 10 negara yang paling bersih adalah negara maju dengan demokrasi pelbagai parti yang mampan.
Sebaliknya, 10 negara paling kotor (Sudan Selatan, Somalia, Syria, Yaman, Venuzuela, Sudan, Guinea Khatulistiwa, Libya, Korea Utara dan Haiti) adalah negara yang miskin, sesetengahnya diperintah oleh kerajaan kuku besi, dan dibelenggu peperangan atau krisis politik.
Malaysia yang ramai ulama, kaya dengan kepelbagaian budaya dan kaum mempunyai banyak recam politik, dan rasuah.
Abdul Hadi perlu sedar rasuah untuk diperangi bukan untuk disokongi apatah lagi apabila ia membabitkan kepentingan lain.
Tumbang kerana korup
Di Malaysia, suara menentang rasuah begitu lantang sehinggakan kerajaan yang terkenal korup tumbang pada Mei 2018. Kini Abdul Hadi yang menjadi sekutu kepada rejim yang sedang berkuasa sekarang wajar memainkan peranan.
Sokonglah wartawan yang mendedahkan skandal rasuah dan salah guna kuasa.
Wartawan sejati ialah pelapor perubahan zaman dan pencetus pembangunan akhlak rakyat.
Wartawan sejati bukan pelapor majlis ceramah politik yang kemudian mengedarkan kopiah dan tin Milo untuk mengutip derma yang kononnya jihad.
IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.
Author Profile
Latest entries
- Seni & HiburanNovember 14, 2024Siti Nurhaliza dinobat Biduanita Negara – ASN 2024
- NationalNovember 14, 2024Pendedah maklumat utus surat terbuka pada YDPA
- NationalJuly 4, 2024Kuala Lumpur Fashion Week 2024 – Taman KLCC
- NationalJuly 3, 2024RM699 juta bina Hospital wanita dan kanak-kanak di Melaka