Bunyi letupan meriam di Putrajaya pada 3, 5 Jun

Bunyi letupan meriam di Putrajaya pada 3, 5 Jun
Orang ramai khususnya penduduk di sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya dinasihatkan supaya tidak panik apabila mendengar bunyi letupan meriam pada 3 dan 5 Jun ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata bunyi letupan itu adalah pelaksanaan tembakan meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, di Presint 1.
Katanya dua das tembakan meriam akan dilepaskan pada sesi raptai penuh bermula 8.30 pagi pada 3 Jun.
“Pada acara sebenar iaitu Jumaat (5 Jun) sebanyak 21 das tembakan akan dilepaskan pada waktu yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham berkata tiga laluan utama juga akan ditutup sementara bermula 7 pagi iaitu Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jalan Lebuh Perdana Timur dan laluan di sekitar Kompleks E.
Tambahnya kesesakan lalu lintas dijangka berlaku di lokasi terbabit dari 7 hingga 10 pagi. Justeru pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan polis, merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
[Bernama]
Author Profile

Latest entries
NationalMay 31, 2026Bunyi letupan meriam di Putrajaya pada 3, 5 Jun
NationalNovember 21, 2025UPSI lancar lima inisiatif integriti perkukuh tadbir urus universiti
NationalNovember 21, 2025Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan
NationalNovember 14, 2025UPSI rai pengorbanan ibu dalam kejayaan anak di Istiadat Konvokesyen



