Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan

Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan
Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan dan tidak gentar walaupun menghadapi pelbagai ancaman dalam era perang maklumat yang semakin memuncak dan krisis pendanaan global.
Ini adalah antara inti pati utama pada Persidangan Kewartawanan Penyiasatan Global (GIJC) ke-14 yang bermula secara rasmi di Kuala Lumpur hari ini.
Pengasas bersama Malaysiakini, Premesh Chandran dalam ucapan alu-aluannya menegaskan peranan wartawan sebagai penggerak utama perubahan di sesebuah negara.
“Kami berbesar hati menjadi tuan rumah pertama persidangan ini di Asia,” katanya, sambil menegaskan kesan positif daripada media bebas.
“Pada 2018, kami mengalami perubahan kerajaan pertama dalam 60 tahun, dan itu didorong oleh wartawan.”
Acara yang berlangsung sehingga 24 Nov ini dianjurkan bersama oleh Malaysiakini.
Ini kali pertama persidangan global itu diadakan di Asia dengan hampir 100 penceramah dan ahli panel di GIJC25 yang berasal dari benua itu dan 1,500 wartawan penyiasatan dari 135 negara dan wilayah.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GIJ Network, Emilia Díaz-Struck, membidas membidas kuasa-kuasa yang berusaha mengecilkan, menghentikan pendanaan, atau memusnahkan wartawan pemerhati di seluruh dunia.
“Kewartawanan penyiasatan masih hidup dan kita adalah buktinya.”
“Di sebalik semua cabaran yang kita hadapi – demokrasi merosot, peperangan, lebih ramai wartawan dalam buangan – kita masih hidup; kita berdaya tahan; dan kita menjalankan kewartawanan penyiasatan yang merupakan kunci kepada masyarakat: mempertanggungjawabkan pihak berkuasa,” kata Díaz-Struck.
Penerima Hadiah Nobel, Maria Ressa pula menyeru wartawan untuk menerima inovasi dan “kolaborasi radikal” di tengah-tengah “pertempuran untuk fakta” menentang oligarki, penjenayah terancang, dan kerajaan kuku besi yang terdesak cuba melemahkan media.
“Ini adalah masa untuk penciptaan kerana segala yang kita tahu telah hancur.”
Ressa juga menggesa wartawan yang berhimpun untuk membezakan pelaporan berdasarkan fakta dan penyiasatan berasaskan cerita daripada lambakan maklumat salah dan media hiburan dalam talian yang semakin meningkat.
“Kita wartawan, kita bukan pencipta kandungan.
“Kita tidak seharusnya membiarkan diri kita dimanipulasi oleh syarikat teknologi demi keuntungan mereka.
“Matlamat kita adalah untuk menyampaikan kebenaran dan mempertanggungjawabkan pihak berkuasa,” kata ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama Rappler.
Peserta GIJC25 berkumpul di Malaysia selama lebih empat hari untuk sesi dan bengkel terkini, yang diajar oleh wartawan terbaik dan pakar pelbagai subjek.
Mereka juga akan berkongsi teknik pelaporan terkini dan amalan terbaik profesional merentasi pelbagai topik, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan teknologi, imej satelit, jenayah perang, media buangan, pendedahan rasuah, perubahan iklim, dan ancaman kepada pilihan raya dan demokrasi.
Dalam tempoh 21 tahun penubuhannya, GIJN telah menganjurkan 14 persidangan global yang berbeza.
[MK]
Author Profile

Latest entries
NationalNovember 21, 2025UPSI lancar lima inisiatif integriti perkukuh tadbir urus universiti
NationalNovember 21, 2025Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan
NationalNovember 14, 2025UPSI rai pengorbanan ibu dalam kejayaan anak di Istiadat Konvokesyen
EkonomiNovember 13, 2025MOF – RM17.5 Bilion demi Kesejahteraan Rakyat Sabah



