1MDB - Pegawai Bank Goldman Sachs Terima Jutaan Sogokan | Malaysia News

1MDB – Pegawai bank Goldman Sachs terima jutaan sogokan

1MDB - Roger Ng - Bekas pegawai bank Goldman Sachs

1MDB – Pegawai bank Goldman Sachs terima jutaan sogokan

New York – Pendakwa raya Amerika Syarikat menuduh seorang bekas pegawai tinggi Goldman Sachs menerima sogokan sebanyak AS$35 juta sebagai sebahagian daripada penglibatannya dalam skandal berbilion dolar milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Roger Ng didakwa “melihat peluang untuk menggunakan kedudukannya di Goldman Sachs untuk menjadi kaya dengan menipu lalu mengambilnya,” kata Pendakwa Raya Persekutuanm Brent Wible kepada juri di Mahkamah Persekutuan Daerah Timur New York dalam kenyataan pembukaan perbicaraan yang akan berlangsung selama beberapa minggu.

Ng telah didakwa merasuah pegawai-pegawai asing, mengelak kawalan dalaman dan pengawasan Goldman Sachs dan melakukan pengubahan wang dalam jumlah yang besar ketika beliau melakukan tiga tawaran bon bagi mengumpul sejumlah AS$6.5 bilion untuk 1MDB.

Ketika menyebut kes tersebut, pendakwa raya berkata, Ng dan ketuanya, Tim Leissner, sengaja menyembunyikan penglibatan mereka dengan Jho Low, ahli perniagaan Malaysia yang dalam buruan.

Jho Low adalah dalang utama dalam skandal itu.

Ng didakwa menggunakan akaun e-mel peribadi untuk menjalankan perniagaan di luar saluran Goldman dan menggunakan akaun bank serta shell company (syarikat yang berfungsi sebagai syarikat tujuan khas untuk transaksi perniagaan tanpa dirinya sendiri yang memiliki aset atau operasi yang signifikan) di bawah nama isteri dan ahli keluarga yang lain untuk mencuci wang yang dirompak daripada 1MDB.

Leissner, bekas ketua Asia Tenggara untuk Goldman Sachs, mengaku bersalah pada 2018 kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan pengubahan wang haram.

Dia dijadualkan memberi keterangan terhadap Ng.

Pihak pembelaan berkata, terdapat kekurangan bukti yang memberatkan.

Transaksi wang atas nama isteri Ng dengan urusan perniagaan yang dilakukannya dengan bekas isteri Leissner, menurut peguam Ng, Marc Agnifilo.

“Kami sebenarnya akan mengadakan perbicaraan terhadap seorang lelaki yang tidak bersalah,” katanya.

Sebahagian besar daripada kenyataan pembukaan pembelaan mensasarkan Leissner, yang dianggap Agnifilo sebagai tidak bermoral dengan rekod prestasi melanggar peraturan dan menggunakan orang kerana dia memberi keterangan terhadap Ng untuk meringankan hukumannya sendiri.

Pihak pembelaan meletakkan Ng, sebaliknya, sebagai “process guy” yang mengikut peraturan dan memberi amaran kepada bank berkenaan tentang kerjasama dengan Low sejak 2010.

“Terdapat jurang kedudukan antara dua lelaki ini cukup besar,” kata Agnifilo, yang menggelar Leissner sebagai “lelaki pemusnah”.

Skandal 1MDB menyebabkan kejatuhan kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak pada 2018.

Najib Razak juga telah didapati bersalah atas 7 pertuduhan oleh mahkamah rendah dan rayuan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

Kes itu kini dirayu ke mahkamah tertinggi negara.

Goldman Sachs telah menerbitkan bon untuk 1MDB pada 2012 dan 2013 dan memperoleh kira-kira AS$600 juta.

Pada 2020, Goldman Sachs mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan pelanggaran Akta Amalan Rasuah Asing Amerika Syarikat dan bersetuju untuk membayar lebih daripada AS$2.9 bilion “sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang diselaraskan dengan pihak berkuasa jenayah dan sivil di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan di tempat-tempat lain,” kata Jabatan Kehakiman pada masa itu.

Dengan kenyataan pembukaan, kerajaan AS mengemukakan saksi pertamanya iaitu bekas rakan sekerja Ng dan Leissner di Goldman Sachs yang menjelaskan butiran tentang cara kawalan dalaman bank itu beroperasi dan proses mengumpul wang untuk bon tersebut.

Pendakwa raya berkata, tindakan Ng melanggar kawalan dalaman dibantu oleh budaya di anak syarikat Goldman di Asia Tenggara yang “sangat menumpukan pada penyempurnaan urus niaga, kadangkala mengutamakan matlamat ini sebelum operasi yang betul bagi fungsi pematuhannya.”

Pihak pendakwaan masih menyoal saksi apabila perbicaraan ditangguhkan. [MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply