4 Isu Utama Dalam Sidang Parlimen Bermula Esok | Malaysia News
June 20, 2021

4 isu utama dalam Sidang Parlimen bermula esok

Esok bermulanya sidang Dewan Rakyat penuh yang pertama sejak Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan pada lebih empat bulan lalu.

Dewan Rakyat bersidang pada 18 May tetapi hanya untuk sehari bagi mendengar titah diraja dan untuk memenuhi keperluan perlembagaan, tanpa perbahasan.

Berikut adalah empat agenda utama yang dijangka ditimbulkan pada sidang kali ini.

1. Keabsahan Muhyiddin

Sebaik sesi soal jawab berakhir, aturan mesyuarat pertama dijangka berkenaan empat usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) untuk menyingkirkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan), untuk digantikan dengan Azhar Azizan Harun dan Azalina Othman Said (PN-Pengerang).

Ini akan menjawab persoalan sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Berdasarkan aturan tempat duduk sidang 18 Mei lalu, serta peralihan sokongan sejak itu, ada tiga blok utama di Parlimen, iaitu PN (113 kerusi), PH (91 kerusi) dan bebas (18 kerusi).

Bagaimanapun, angka ini bukanlah satu-satunya penanda tahap sokongan Muhyiddin, sehinggalah undian dibuat.

Menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, jika perdana menteri tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan, beliau harus letak jawatan.

Yang di-Pertuan Agong kemudian boleh memilih untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan, atau melantik seorang yang dirasakan mempunyai majoriti sokongan sebagai perdana menteri baru.

Terdapat empat usul lagi berkaitan keabsahan Muhyiddin, tetapi semuanya berada di kedudukan terakhir dalam senarai 30 usul.

Tiga lagi usul – oleh Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) dan Shahidan Kassim (PN-Arau) – untuk undi percaya kepada Muhyiddin, manakala satu lagi, difailkan Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) berkenaan usul tidak percaya terhadapnya.

Secara teknikalnya, empat usul ini tidak relevan memandangkan sokongan terhadap Muhyiddin boleh dibuktikan ketika pengundian usul penyingkiran speaker.

2. Jawatankuasa Pilihan

Jika Muhyiddin lepas peringkat pertama ini, beliau dijangka membentangkan usul untuk pembentukan Jawatankuasa Pilihan – satu jawatankuasa yang akan memutuskan komposisi dan bilangan pelbagai jawatankuasa Parlimen.

Anggota baru yang dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa itu ialah Azmin Ali (PN-Gombak), Hamzah Zainuddin (PN-Larut), Fadillah Yusof (PN-Petra Jaya), Abdul Hadi Awang (PN-Marang) dan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

Advertisement

Komposisi ini menunjukkan tradisi menyertakan hanya seorang anggota Parlimen pembangkang – lazimnya ketua pembangkan – dalam jawatankuasa itu.

Ketika pentadbiran PH, jawatankuasa ini menambah bilangan jawatankuasa terpilih Parlimen kepada sepuluh, berbanding jumlah yang rendah ketika pentadbiran BN.

Jawatankuasa-jawatankuasa ini mempunyai kuasa untuk mengadakan siasatan, memanggil saksi dan meneliti kewangan kerajaan.

Komitmen PN untuk mengekalkan jawatankuasa sedia ada belum diketahui.

3. RUU reformasi

Muhyiddn juga dijangka membentang dua Rang Undang-undang (RUU) utama ketika pentadbiran PH untuk bacaan kedua. Biasanya ia akan disusuli dengan perbahasan.

Satu RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meletakkan had maksimum dua penggal bagi jawatan perdana menteri, manakala satu lagi untuk pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Kedua-dua RUU ini akan meletakkan PH, Warisan dan anggota Parlimen yang menyokong Muhyiddin dalam keadaan yang canggung.

Pada satu sisi, mengambil pendirian berkecuali atau menolak RUU itu akan mengundang persoalan berhubung komitmen terhadap reformasi yang telah mereka mulakan. Pada masa sama, menyokongnya bermakna mengabsahkan sebuah kerajaan yang dibentuk oleh anggota Parlimen tanpa memperolehi mandat secara betul.

4. RUU Covid-19

Satu lagi RUU yang dijangka dibentangkan adalah Rang Undang-undang Covid-19 (Langkah Sementara).

Walaupun kerajaan belum menyatakan secara jelas tujuan undang-undang baru ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membayangkan ia antara lain berkenaan pelepasan sementara kewajiban kontrak terhadap mereka yang terkesan dengan wabak.

Zafrul berkata undang-undang ini akan sama dengan yang telah diluluskan di New Zealand dan Singapura.

Singapura meluluskan undang-undang tersebut pada April, dan mewartakannya dua hari kemudian. Ia antara lain melarang satu pihak mengambil tindakan perundangan terhadap seorang yang meminta pelepasan sementara.

Ia dijangka akan menghalang kebanjiran kes bankrap susulan terjejasnya perniagaan akibat Covid-19. [MK]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •