Adun gesa kerajaan Selangor kumpul bukti ‘Niat Buruk’ Ismail Sabri
Adun gesa kerajaan Selangor kumpul bukti ‘Niat Buruk’ Ismail Sabri
Adun Hulu Kelang Saari Sungib hari ini menggesa kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa bagi mengumpul fakta dan bukti berhubung apa yang disifatkannya sebagai “niat buruk” kerajaan persekutuan, berhubung pengendalian musibah banjir yang menimpa negeri itu hujung minggu lalu.
Ia selepas Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan menyangkal dakwaannya bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berniat buruk semasa menguruskan bencana itu.
Saari berkata Shahril tidak perlu membuat penafian bagi pihak Ismail Sabri kerana ia tidak melibatkan soal parti.
“Apakah perdana menteri tidak mampu bertindak sebagai seorang yang bertanggungjawab?
“Dengan itu saya mencadangkan kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa bagi mengumpul maklumat, fakta dan bukti-bukti yang menunjukkan mala fide (niat buruk) kerajaan Ismail Sabri terhadap kerajaan dan rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saari berkata, dia membangkitkan perkara itu selaku Adun yang terlibat membincangkan isu dasar negeri dan hubungannya dengan persekutuan.
Semalam, Saari mendakwa Ismail tidak menghiraukan rayuan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari “memohon bantuan segera ketika banjir semakin teruk” pada malam Jumaat minggu lalu.
Dia juga menggesa mangsa banjir di negeri itu yang merasa ‘dikhianati’ mengambil tindakan undang-undang terhadap Ismail di mahkamah.
Susulan itu, Shahril tampil menepis dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak benar dan tidak berasaskan fakta.
Shahril antara lain berkata pada 17 Disember, agensi pengurusan bencana telah memberikan taklimat mengenai taburan hujan yang jarang berlaku hingga menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir.
Susulan taklimat itu, katanya, Ismail telah mengarahkan beberapa kementerian berkaitan untuk menggerakkan aset bagi tujuan operasi menyelamat, mengurus, dan menyelaras di semua kawasan.
Katanya lagi, Ismail juga bergegas ke pusat kawalan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyelaras tugasan dan tindakandan pada 18 Disember mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar memberi segala kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Pada hari yang sama (19 Dis) perdana menteri terus mengumumkan pakej bantuan kepada mangsa banjir,” katanya lagi. [MK]