AEON Komited Bantu Kewangan Rakyat Melalui Bank Digital | Malaysia News

AEON komited bantu kewangan rakyat melalui bank digital

AEON-Malaysia-Digital-Bank

AEON komited bantu kewangan rakyat melalui bank digital

Kuala Lumpur, MTN – AEON Co (M) Bhd (AEON) komited memberikan perkhidmatan kepada rakyat mendapatkan bantuan kewangan dengan lebih baik secara lestari dan inklusif menerusi penubuhan bank digital.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Co Malaysia Bhd, Shafie Shamsuddin, berkata penubuhan bank digital AEON dijangka akan direalisasikan tidak lama lagi.

“Kumpulan melalui AEON Credit Service (M) Bhd sudah memohon lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

“AEON menjangkakan bank digital ini mampu merubah landskap bagi melebarkan sokongan kepada kumpulan yang kurang mendapat perhatian serta golongan yang tidak mempunyai kemudahan perbankan.

“Bank digital ini dapat memberi dorongan untuk digandingkan dengan ekosistem AEON secara holistik,” katanya selepas majlis pelancaran kempen ‘Sayap Bagimu’ secara maya hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Mengulas lanjut, Shafie berkata cadangan penubuhan bank digital itu dibuat kerana AEON melihat masih belum ada peserta yang dapat mengintegrasi rantaian inklusif di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, bank digital AEON akan memberikan sokongan kepada permintaan melalui peruncitan fizikal dan digital, rantaian bekalan melalui hubungan akrab bersama pembekal besar atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama dengan keupayaan perbankan.

“Bank digital AEON itu kelak juga dijangka mampu membuka peluang baharu kepada semua peserta dalam ekosistem (peruncitan),” katanya.

Shafie berkata, AEON meneruskan visi menjadi konduktor yang dapat menambah baik masyarakat dan industri sebagai pemain ekosistem yang menyeluruh.

“Bank digital dapat memberi dorongan untuk digandingkan dengan ekosistem AEON secara holistik. Keupayaan untuk mengintegrasikan kemampuan perbankan dengan ekosistem pelanggan, baik dari pandangan pengguna mahupun pengeluar, akan menjadi perintis di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, kempen ‘Sayap Bagimu’ menyaksikan AEON melalui Yayasan AEON Malaysia (MAF) meneruskan komitmen membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses pendidikan yang sempurna ketika tempoh mencabar.

Shafie yang juga Timbalan Presiden MAF berkata, bagi tujuan itu, yayasan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi memberikan 2,000 unit peranti elektronik kepada pelajar tingkatan 5 daripada keluarga B40 yang layak di tujuh negeri.

Inisiatif ‘Sayap Bagimu’ menjalin kerjasama dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi Yayasan TM bagi menyediakan sambungan internet mudah alih unifi Mobile secara percuma selama 12 bulan.

Yayasan Peneraju turut terbabit memberikan sokongan dari segi pengendalian program tuisyen percuma dalam talian selama tiga bulan menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply