AG Petik Forum Libatkan Peguam Najib Untuk Perintah Larang Suara | Malaysia News

AG petik forum libatkan peguam Najib untuk perintah larang suara

AG petik forum libatkan peguam Najib untuk perintah larang suara

AG petik forum libatkan peguam Najib untuk perintah larang suara

Pejabat Peguam Negara (AGC) memetik forum awam yang melibatkan peguam Najib Razak untuk mewajarkan usaha kerajaan mendapatkan perintah larang suara (gag order) terhadap tindakan mahkamah berhubung titah adendum bekas perdana menteri itu.

AGC merujuk kepada beberapa townhall dan forum yang didakwa melibatkan peguam Najib, serta kenyataan awam dan laporan berita, untuk menunjukkan dakwaan risiko prejudis terhadap semakan kehakiman yang sedang berjalan.

Walaupun tidak dinamakan, dokumen yang dilampirkan dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini termasuk poster untuk dua townhall dan podcast yang memaparkan Shafee Abdullah.

Ia juga termasuk playlist oleh artis grafik Fahmi Reza yang menyindir titah adendum itu.

Contoh yang dinyatakan dalam afidavit adalah:

  • Townhall Rakyat Mencari Kebenaran –Badan Kehakiman &
  • Keadilan Rakyat (1 MOB, SRC, /PIG, DNAA, DAA, Hearsay,
  • Addendum, Tahanan Politik, Konflik Kepentingan, Tahanan Rumah, Hak Rakyat;
  • Townhall Rakyat Mencari Kebenaran – Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan
  • Titah Adendum Disorok? Siapa yang Bertanggungjawab
  • Gag Order on Addendum Will Worsen Public Trust Towards Govt, Says Puad
  • Wacana Awam – Menolak Lupa: Najib Razak, 1MDB & Tahanan Rumah
  • Let’s Talk About What The Royal Addendum Means.
  • Royal Addendum Gag Order – Addendum: Despite Gag Order
  • Threat, The People Will Continue To Speak Up
  • Gag order on Najib’s review application against the constitutional right of freedom of speech
  • Trick Lama: Shafee Abdullah breaks down the royal addendum on Najib Razak’s house arrest; dan
  • Spotify Playlist: This is Royal Addendum

Peguam Cara Negara Suzana Atan, dalam mengesahkan afidavit bagi pihak peguam negara, berkata ini membuktikan keperluan untuk perintah larang suara.

“Sesuatu yang tidak boleh dinafikan bahawa terdapat laporan media, kenyataan awam, forum yang disertai oleh pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuk peguam cara pemohon sendiri yang membincangkan perkara subjek dalam permohonan semakan kehakiman ini.

“Justeru perkara ini membuktikan bahawa perintah larang suara ini perlu bagi memastikan pendengaran kes semakan ini dapat dijalankan tanpa sebarang prejudis.

“Dakwaan pemohon bahawa tiada ancaman atau risiko segera wujud kerana ketiadaan tindakan undang-undang adalah tidak tepat.

“Saya menegaskan bahawa perbincangan yang negatif, andaian yang mengelirukan dan bersifat fitnah secara terbuka di kalangan masyarakat boleh mengugat kepercayaan awam dan mencetuskan kemudaratan terhadap institusi diraja” kata Suzana.

Afidavit itu menjawab afidavit Najib dalam bantahan terhadap permohonan larang suara, di mana bekas perdana menteri itu menegaskan tiada risiko segera untuk perbicaraan adil atau keselamatan negara Malaysia jika kes itu dilaporkan oleh media bagi penyebaran awam dan perbincangan matang.

Najib berhujah bahawa publisiti atau perbincangan kritis dan termaklum mengenai sesuatu kes tidak boleh secara automatik membawa kepada prejudis serius kepada prosiding undang-undang, sambil menyatakan bahawa Jabatan Peguam Negara sentiasa boleh memulakan prosiding jenayah atau sivil terhadap sesiapa sahaja yang membuat kenyataan berbaur hasutan atau fitnah terhadap institusi diraja.

Pada 20 Jan lepas, permohonan larang suara kerajaan difailkan atas alasan menyekat kenyataan awam yang boleh mempersoalkan integriti dan kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut permohonan itu, kerajaan berusaha untuk menghalang mana-mana pihak, termasuk media, daripada menerbitkan, menyiarkan, atau menyebarkan apa-apa yang berkaitan dengan semakan kehakiman yang sedang berlangsung.

Jika mahkamah sivil membenarkan permohonan itu, ia akan menghalang bukan sahaja media daripada melaporkan kes itu tetapi juga menghalang mana-mana anggota badan kehakiman dan peguam yang berurusan secara langsung dalam tindakan sivil berkenaan daripada berkongsi dengan orang ramai salinan dokumen sulit yang dikaitkan dengan kes itu.

Pada 29 Jan tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengeluarkan nasihat diraja supaya hukuman penjara 12 tahun Najib dikurangkan separuh kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Hukuman itu adalah berhubung kes salah guna kuasa SRC International berjumlah RM42 juta, pecah amanah dan kes pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, bekas menteri kewangan itu mendakwa terdapat juga titah tambahan diraja membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Semakan kehakiman itu bertujuan untuk melaksanakan titah tambahan diraja berkenaan.

Julai lalu, Mahkamah Tinggi menafikan permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman atas sebab afidavit sokongan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail adalah khabar angin (hearsay).

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan ini pada Januari dan membenarkan tindakan sivil Najib. Hakim-hakim memerintahkan perkara itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk merit semakan kehakiman didengar.

Mahkamah rayuan juga membenarkan Najib bergantung kepada afidavit anaknya Nizar yang mendakwa istana Pahang mengesahkan titah tambahan itu wujud.

[MK]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply