Agong, Raja Permaisuri Berkenan Rasmi Nicol David Organisation | Malaysia News
Agong - Permaisuri - Nicol David Organisation

Agong, Raja Permaisuri berkenan rasmi Nicol David Organisation

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Nicol David Organisation (NDO), yang diasaskan oleh jaguh dan legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David di sini semalam.

Keberangkatan tiba pasangan diraja pada pukul 11 pagi di NDO, terletak di Bukit Jalil Golf and Country Resort, disambut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Nicol dan bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes, selaku pengasas bersama NDO.

Seri Paduka berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan sekumpulan kanak-kanak yang menyertai program utama NDO, ‘Little Legends’.

Pasangan diraja itu kemudian berkenan melawat pejabat NDO serta fasiliti lain iaitu bilik kelas serta pusat latihan skuasy.

NDO adalah platform bagi membina masa depan yang positif melalui latihan skuasy dan tutorial Bahasa Inggeris secara bersubsidi untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana berumur antara 8 dan 12 tahun.

Program skuasy direka Nicol selaku ketua jurulatih dengan menumpukan aspek pembangunan kanak-kanak melalui kelas dan modul yang disediakan serta berpeluang menyertai pertandingan dan kejohanan peringkat kebangsaan dan NDO.

Program tutorial Bahasa Inggeris pula dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebagai rakan program dan sejajar dengan kurikulum Kementerian Pendidikan untuk sekolah rendah.

Penubuhan NDO turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Coway Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia, AlA Malaysia, JD Sports, Dunlop Malaysia dan Fitness Concept. [Bernama]

Facebook Comments