Agong: Sidang parlimen perlu diadakan secepat mungkin
Agong: Sidang parlimen perlu diadakan secepat mungkin
MTN – Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.
Kenyataan itu selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Ahmad Fadil.
Agong juga menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin, jelasnya.
Seri Paduka Baginda juga, kata Ahmad Fadil turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya “pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.”
“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat berikutan siri pertemuan dari 9 Jun hingga 15 Jun antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah dan 18 pemimpin politik, yang berakhir dengan sidang khas Raja-Raja Melayu hari ini.
Parlimen telah digantung sejak pengisytiharan darurat berkuatkuasa pada 11 Januari. Ia akan berakhir pada 1 Ogos, bergantung pada nasihat jawatankuasa bebas sekiranya darurat dapat berakhir lebih awal.
Menurut Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, parlimen akan bersidang semula semasa fasa ketiga pemulihan Malaysia dari PKP penuh sekarang.
Kriteria untuk memasuki fasa ini adalah mempunyai kurang 2,000 kes Covid-19 sehari, kapasiti ICU “mencukupi” dan sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk selesai menerima vaksinasi Covid-19.
Ini dijangka dicapai pada bulan September atau Oktober.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa vaksinasi adalah satu-satunya “strategi keluar” untuk mencegah wabak tersebut. [MK]