Akaun Rahsia UMNO - Tunggu Keputusan Hakim | Malaysia News
April 13, 2021

Akaun Rahsia UMNO – Tunggu Keputusan Hakim

Kuala Lumpur, MTN – Keputusan hakim perlu ditunggu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan berhubung dakwaan – yang dibuat mahkamah – bahawa Umno mempunyai akaun rahsia bank yang tidak diaudit.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim proses tersebut turut meliputi semakan bukti dan keterangan bersumpah saksi, sebelum keputusan dibuat oleh hakim di mahkamah.

“Keterangan pendakwa raya di mahkamah belum lagi konklusif. Perlu didengar apa kata pihak Umno pula.

“Hakim perlu semak evidence of documentation (bukti dokumentasi) dan keterangan sumpah saksi untuk putuskan sama ada pendedahan pendakwa raya itu boleh diterima atau tidak,” katanya.

Semalam media melaporkan pihak pendakwaan mendakwa Umno memiliki akaun rahsia untuk menerima sumbangan politik

Hal itu disebutkan pihak pendakwaan semasa menyanggah dakwaan wang tunai RM114.16 juta – yang dituntut oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno dalam saman pelucutanhak berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings – adalah milik parti itu.

Susulan itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaan tersebut.

Advertisement

Hassan berkata ROS hanya boleh bertindak selepas keputusan dibuat pada akhir perbicaraan dan sekiranya hakim mendapati memang benar terdapat akaun rahsia itu.

“Jika tidak, ROS bertindak secara pramatang,” kata pemimpin PKR itu.

Umno sebelum ini mendakwa bahawa wang yang ingin dirampas oleh kerajaan kerana didakwa ada kaitan dengan dana 1MDB sebenarnya adalah milik parti itu.

Tertakluk kepada Akta Pertubuhan

Sementara itu Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil berpendapat dakwaan akaun rahsia itu perlu disiasat oleh pihak berkuasa supaya tindakan undang-undang diambil dan ia dapat menjadi pengajaran kepada semua parti politik di negara ini.

“SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) harus menyiasat sumber akaun ini dan dedahkan kepada umum jumlah wang dalam akaun tersebut dan tujuan mengapa ia diwujudkan.

“Persoalan juga timbul oleh kerana terdapat permohonan oleh pihak kerajaan untuk membekukan dan merampas wang Umno kerana didakwa daripada sumber pengubahan wang haram.

“Maka dakwaan akaun rahsia ini juga perlu disiasat sama ada bersumberkan yang sama atau daripada transaksi lain,” katanya.

Pemimpin Amanah itu berkata ahli Umno juga perlu mempersoalkan mengapa ia tidak diaudit dan dirahsiakan.

“Dalam keadaan ada ahli Umno yang tergolong dalam B40, yang hidup susah, adakah akaun ini membantu mereka atau digunakan untuk tujuan tertentu?

“Sebagai sebuah parti politik yang tertakluk kepada peruntukan Akta Pertubuhan 1966, Umno tidak boleh diberikan keistimewaan atau kekebalan daripada sebarang siasatan,” katanya.

Pasukan pendakwaan – yang diketuai oleh DPP Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi – berkata terdapat akaun rahsia yang tidak diaudit yang disimpan oleh Umno di sebuah bank di Malaysia.

Mereka berpendapat keberadaan akaun yang tidak diaudit itu merupakan kesalahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Justeru katanya tiada keperluan bagi Najib Razak menyimpan sejumlah besar dana dalam pelbagai mata wang asing secara peribadi. [mk]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •