Anwar Ibrahim dakwa PM Ismail Sabri cuba guna alasan banjir untuk henti PRU15 kerana prestasi BN merudum
Anwar Ibrahim dakwa PM Ismail Sabri cuba guna alasan banjir untuk henti PRU15 kerana prestasi BN merudum
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang keperluan untuk menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika berlaku banjir besar, menunjukkan pandangan dan kegusaran ramai pihak sebelum ini.
Seterunya yang juga calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, beliau melihat itu mungkin antara alasan yang akan diguna pakai selepas melihat prestasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada tahap rendah ketika ini.
Bagaimanapun Anwar, yang juga calon Parlimen Tambun berkata, beliau mengharapkan agar banjir besar itu tidak berlaku, atau kesalahan harus diletakkan sepenuhnya kepada Ismail Sabri.
“Sebab tu kita kata dengar pandangan orang, pandangan pakar. Jangan jadi Perdana Menteri yang lemah sehingga kena ikut arahan UMNO. Kalau pun arahan baik tak apa.
“Kamu dah buat silap besar. Setelah penamaan calon baru terfikir ada kemungkinan ini. Saya harap tidak berlaku insya-Allah,” katanya dalam laman Facebooknya.
RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI
Perdana Menteri baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mahu menghentikan PRU15, seandainya negara dilanda banjir besar.
Beliau berkata, persediaan bagaimanapun telah dilakukan lebih awal sebelum pembubaran Parlimen berlaku dengan melibatkan semua agensi di seluruh negara.
“Kita akan bincanglah dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan berbincang, tiada menteri yang terlibat kerana kerajaan caretaker.
“Mungkin saya akan panggil semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan sebagainya untuk berbincang SPR pun boleh beri pandangan, kalau SPR nak menghentikan pilihan raya itu terserah kepada SPR, kerana pilihan raya adalah keputusan SPR,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau berpandangan kenyataan itu seperti satu helah untuk menyelamatkan UMNO dan BN darpada potensi kekalahan dalam PRU kali ini.
“Ini keadaan yang diusulkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri. Maknanya mencari helah. Kalau tengok kenyataan, saya fikir UMNO dan BN tahap paling rendah sekarang.
“Apa keputusan itu berdasarkan data dan kenyataan yang tentunya kita terpaksa dukung? Atau angka kemungkinan disuarakan itu dilihat prestasi UMNO dan BN itu dah mula ranap, dah mula merudum?” soalnya lagi.
Anwar mendakwa, sekiranya negara terpaksa menghadapi darurat akibat bencana banjir, maka rakyat berhak untuk menilai dan menghukum Ismail Sabri atas kecuaiannya dalam membuat dasar dan melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. [AA]