Anwar Ibrahim disaran mengukuhkan blok besar pembangkang

Anwar Ibrahim disaran mengukuhkan blok besar pembangkang
Shah Alam, MTN – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan agar terus mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat.
Menerusi kenyataan bersama Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman; Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong; Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian, mereka mahu pembangkang mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan sesama parti serta ahli Parlimen bagi memulihkan negara.
Menurut mereka, kepimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak memberikan hala tuju dan rancangan yang jelas sepanjang negara melalui krisis ekonomi, kesihatan dan juga politik.
“Malaysia telah melangkaui setahun kegagalan pentadbiran PN dan gagal menzahirkan kemampuan serta iltizam.
“Kelompongan ini perlu dimanfaatkan oleh blok pembangkang dengan mengetengahkan satu gagasan bersama yang berlandaskan agenda peduli terhadap rakyat.
“Pembangkang perlu bersama-sama menunjukkan suri tauladan kepimpinan dengan menyusun dasar dan inisiatif yang membantu rakyat kebanyakan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pembangkang perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua.
Pada 16 Mac, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan masih terlalu awal atau pra-matang untuk tentukan kerjasama dengan UMNO.
Bagaimanapun, beliau berkata, perbincangan dengan UMNO masih lagi berterusan. [sh]
Author Profile

Latest entries
Seni & HiburanApril 24, 2025Treler filem Keluang Man, tambah keterujaan peminat
InternationalApril 22, 2025PM Thailand gesa kerjasama pelbagai hala tangani cabaran rentas sempadan
IT & Social MediaApril 21, 2025Semua video YouTube akan dialih bahasa secara automatik
NationalApril 16, 2025Malaysia promosi kempen pelancongan 2026 dengan Indonesia