Anwar Ibrahim ulangi tawaran untuk rakyat
Anwar Ibrahim ulangi tawaran untuk rakyat
IPOH: Berbaki kurang daripada 24 jam sebelum hari mengundi, tiga gabungan politik utama iaitu PH, BN dan PN membuat pecutan terakhir sebelum hari mengundi esok.
Di Meow Garden Tambun, ribuan berbaju merah hadir di ceramah grand finale PH malam ini bagi mendengar amanat Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.
Hujan tidak mematahkan semangat lebih 10,000 penyokong, dengan sebahagiannya dilihat memegang payung dan memakai baju hujan.
Dalam ucapannya, Anwar antara lain berjanji untuk mengurangkan saiz kabinet kepada separuh jika PH diberi mandat mentadbir negara.
Anwar janji potong gaji menteri
Dalam usaha meyakinkan rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan, Anwar juga berjanji gaji menteri akan dikurangkan separuh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memotong gaji menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) sebanyak separuh sekiranya PH diberi mandat mentadbir Putrajaya.
Pengerusi PH itu berkata, itu antara budaya politik baharu yang ingin beliau terapkan oleh gabungan parti itu dalam usaha meyakinkan rakyat.
Tegasnya, jika ada pemimpin yang tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan itu, maka beliau menasihati mereka supaya berundur menjadi menteri.
“Mudah-mudahan insya-Allah kita angkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu dan yang pertama saya nak jelaskan Perdana Menteri ini tidak mahu membawa budaya korup, gelojoh dan tamak haloba yang dulu.
“Saya akan tolak gaji Perdana Menteri, jumlah menteri yang 70 orang (ketika ini) akan dikurangkan setengah, gaji (menteri) dikurangkan menjadi setengah.
“Jadi yang nak jadi menteri, sila terima syarat saya. Kalau tidak tak payah (jadi menteri),” katanya dalam amanatnya sebelum tamat kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), malam ini.
Mengulas tawaran sebagai usaha meyakinkan rakyat, Anwar yang juga calon PH kerusi Parlimen Tambun, menjelaskan sekiranya diangkat sebagai Perdana Menteri, beliau mahu menjadi berbeza daripada Perdana Menteri yang lain meskipun berasal daripada kaum yang sama.
Beliau menegaskan akan lebih bertanggungjawab bukan sahaja membabitkan kaum Melayu, malah merentasi pelbagai kaum dan agama.
“Ini permulaan nak yakinkan rakyat. Sebab itu saya kata, saya Melayu tetapi saya tak pernah rasa benci, rasa hina pada mana-mana kaum kerana mereka adalah keluarga saya, anak buah saya yang saya sebagai ketua bertanggungjawab memelihara mereka.
“Jadi kita nak tunjukkan satu budaya baharu di Malaysia. Seorang pemimpin yang berbangsa Melayu, yang bangga dengan budayanya, yang kuat semangat Islamnya.
“Tetapi memberi contoh yang berbeza kerana kuat kasihnya kepada rakyat termasuk yang Kristian, Hindu atau Buddha kerana rakyat itu di bawah tanggungjawab Perdana Menteri yang baharu,” katanya.
Dalam program sama, Anwar yang juga Presiden PKR mengulangi pendirian jika beliau dipilih sebagai Perdana Menteri tidak akan mengambil gaji sepanjang memikul jawatan berkenaan.
Author Profile
Latest entries
- InternationalJanuary 17, 2025Thailand kemas kini program visa jangka panjang
- InternationalJanuary 16, 2025Perjanjian gencatan senjata di Gaza dimeterai, mula Ahad ini
- Seni & HiburanJanuary 16, 2025Lisa Surihani pilih naskhah punya nilai keagamaan
- NationalJanuary 15, 2025Panglima baru ATM tak lama lagi, tunggu perkenan Agong