Elak Rakyat Terbeban, Kerajaan Dijangka Kurangkan Hutang Beransur | Malaysia News

Elak rakyat terbeban, Kerajaan dijangka kurangkan hutang beransur

Defisit kerajaan dijangka menurun

Elak rakyat terbeban, Kerajaan dijangka kurangkan hutang beransur

Fitch Ratings, antara empat agensi penarafan terkemuka global, menjangka kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaksanakan langkah pengurangan hutang atau defisit secara beransur-ansur dalam usaha mengelak mengambil langkah yang tidak popular kepada rakyat.

Namun begitu, ia menegaskan pelan dasar fiskal Kerajaan Perpaduan hanya akan menjadi lebih jelas apabila belanjawan penuh 2023 dibentangkan semula pada 24 Februari ini.

Ia menjangkakan defisit kerajaan pusat akan turun kepada purata sekitar 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023-2025.

Namun, katanya sebarang peningkatan kepada unjurannya itu termasuk rasionalisasi perbelanjaan yang lebih besar serta langkah mobilisasi hasil yang ketara seperti memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Hasil am kerajaan secara relatifnya masih bergantung kepada pengeluaran minyak, manakala perbelanjaan semasa termasuk gaji, pencen dan subsidi adalah tinggi serta tegar.

“Kami menjangkakan nisbah hasil kerajaan berbanding KDNK akan berkurangan daripada purata 24 peratus daripada KDNK pada 2010 hingga 2014 kepada 16.7 peratus pada 2023 dan 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2021 menunjukkan kerajaan berada dalam kedudukan defisit berjumlah RM98.74 bilion, dengan nisbah kepada KDNK sebanyak 6.4 peratus sehingga akhir 2021.

Defisit berkenaan ditampung dengan pinjaman bersih dari dalam dan luar negeri yang berjumlah RM103.437 bilion.

Kedudukan defisit kerajaan mengakibatkan peningkatan hutang Persekutuan sebanyak RM100.254 bilion atau 11.4 peratus kepada RM979.814 bilion.

Mengulas lanjut, Fitch Ratings berkata, defisit diburukkan lagi dengan penggantian GST kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bersifat lebih sempit pada 2018.

Ia berkata, walaupun kerajaan sedang mengkaji semula penggunaan subsidi yang meluas, pihaknya menjangkakan peralihan kepada rejim yang lebih disasarkan adalah secara beransur-ansur memandangkan kerajaan masih mengutamakan langkah untuk mengurangkan kos sara hidup.

Fitch Ratings menjangkakan defisit kerajaan pusat menurun kepada 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022 berbanding 6.4 peratus pada 2021.

Ia berkata, data awal operasi kerajaan pusat menunjukkan hasil dan perbelanjaan meningkat dengan masing-masing sebanyak 29.1 peratus dan 12.1 peratus pada 2022.

Fitch Ratings berkata, kutipan hasil dirangsang oleh pemulihan ekonomi yang teguh dan sumber sekali saja, termasuk dividen tambahan daripada PETRONAS dan Cukai makmur.

Ia menjangkakan jumlah subsidi dan bantuan meningkat tiga kali ganda kepada sekitar 4.5 peratus daripada KDNK pada 2022 berbanding 1.5 peratus daripada KDNK pada 2021 di tengah-tengah kenaikan harga tenaga dan makanan.

Mengenai hutang kerajaan Malaysia, Fitch Ratings menjangkakan nisbahnya berbanding KDNK akan mencatatkan penurunan mulai 2024, berikutan pertumbuhan ekonomi yang mantap di tengah-tengah pengukuhan secara beransur-ansur.

Ia berkata, nisbah itu dijangka jatuh kepada kira-kira 73 peratus menjelang akhir 2023 berbanding paras tertinggi 77.6 peratus pada 2021.

“Angka hutang kami termasuk ‘jaminan komited’ terhadap pinjaman oleh syarikat berkaitan kerajaan dan hutang bersih 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang pada 2021 berjumlah 14.2 peratus daripada KDNK.

“Bon global 1MDB selanjutnya yang perlu dibayar pada Mac 2023 sebanyak AS$3 bilion atau 0.7 peratus daripada KDNK, akan ditebus sepenuhnya dan dibiayai oleh terbitan domestik kerajaan,” katanya. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply