Empat Sukarelawan Parti Muda Disahkan Positif Covid-19 | Malaysia News
February 23, 2024

Empat sukarelawan Parti Muda disahkan positif Covid-19

Banjir

Empat sukarelawan Parti Muda disahkan positif Covid-19

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengesahkan empat sukarelawaannya disahkan positif Covid-19.

Ketua Penerangan Muda, Zaidel Baharuddin dalam satu kenyataan berkata empat kes positif Covid-19 tersebut dikesan melalui ujian RTK di kalangan sukarelawan yang pernah hadir dan di bertugas ke Ibu Pejabat koordinasi banjir parti terbabit.

“Seorang sukarelawan dikesan positif ketika membuat ujian ‘kit’ air liur sebelum dibenarkan masuk ke ibu pejabat. Tiga lagi kes ialah saringan ujian RTK di klinik atas arahan sekretariat.

“Untuk makluman, SOP harian kami menetapkan semua petugas dan sukarelawan perlu menjalani ujian kit air liur sebelum masuk ke ibu pejabat,” kata Zaidel.

Bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut tidak dimaklumkan lokasi ibu pejabat parti itu.

Sebelum ini, Muda berjaya mengumpul RM 1 juta untuk membantu mangsa banjir di Pahang hanya dalam tempoh empat hari.

Jumlah kutipan dana itu adalah kesinambungan daripada kutipan sebelum ini apabila RM2 juta berjaya dikumpulkan secara keseluruhan untuk orang ramai yang terjejas dengan bencana alam.

Mengulas lanjut, kata Zaidel pihak pengurusan parti itu kini sedang membuat ujian saringan PCR dan RTK (klinik) ke atas semua petugas di Ibu Pejabat dan menjangkakan semua keputusan akan diperolehi sebelum tengah hari esok.

Dalam pada itu, Zaidel berkata pihaknya juga kini menjalankan proses memaklumkan kontak rapat ke atas semua kes positif (RTK) bagi langkah berjaga-jaga.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 434 mangsa banjir disahkan positif Covid-19 dengan 14 jangkitan direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 78 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir dengan paling tinggi membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), iaitu 53 kes.

Katanya, KKM juga turut mengesan kluster komuniti pertama membabitkan penularan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir membabitkan 10 kes positif yang dikesan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Bentong, Pahang.

Bagaimanapun, menterinya, Khairy Jamaluddin memaklumkan tiada kes baru melibatkan kluster itu hari ini dan keadaan terkawal. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply