GPS Gesa PM Agar Sabah, Sarawak Terajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar | Malaysia News
October 18, 2021
Alexander Nanta Linggi - GPS

GPS gesa PM agar Sabah, Sarawak terajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar

MTN – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbang agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar diterajui ahli parlimen dari Sabah atau Sarawak.

Ketika dihubungi hari ini, setiausaha agung gabungan itu Alexander Nanta Linggi berkata, buat parti-parti dari Sabah dan Sarawak, peluang mengepalai kementerian pembangunan luar bandar adalah lebih memberi erti berbanding portfolio lain.

Dia mengulas permintaan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan sekutu GPS – Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) – bahawa jawatan timbalan perdana menteri haruslah dipilih dalam kalangan ahli parlimen Sabah atau Sarawak.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula menggesa pentadbiran Ismail Sabri untuk mewujudkan jawatan baru iaitu timbalan perdana menteri kedua (TPM II) untuk diisi ahli parlimen Sarawak daripada GPS.

“Ini (jawatan timbalan perdana menteri) tidak pernah menjadi permintaan atau tuntutan rasmi daripada GPS. Ia pandangan yang disuarakan oleh sesetengah pemimpin yang menzahirkan sentimen di Sarawak,” katanya.

Alexander, yang merupakan timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah antara Mei 2013 hingga Mei 2018, bagaimanapun menyuarakan hasrat GPS untuk menerajui kementerian tersebut.

Advertisement

“Sudah tentu, (memberikan) jawatan timbalan perdana menteri (untuk kami) akan menjadi satu hal yang bersejarah. Tetapi apa yang penting ialah kementerian yang relevan dan benar-benar dapat membantu kami, contohnya kementerian pembangunan luar bandar (untuk) diberikan kepada kami,” kata ahli parlimen Kapit itu.

“Ia lebih wajar dan bererti untuk diberikan kepada kami, supaya kami mempunyai lebih suara dan kami juga mungkin dapat mempercepatkan (proses rancangan pembangunan luar bandar di sana).

“Kami perlukan satu kementerian relevan yang dapat memberi kesan langsung ke atas kawasan luar bandar (di Sabah dan Sarawak) dan kami patut diberikan kementerian ini,” katanya.

Sebelum ini, kementerian pembangunan luar bandar lazimnya diketuai wakil dari parti Melayu seperti Umno dan Bersatu.

Semasa era PH di bawah Dr Mahathir Mohamad, ia diterajui Rina Harun manakala ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin pula, ia diketuai Abd Latiff Ahmad sebagai menteri – kedua-duanya daripada Bersatu. [MK]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •