Haji 2021 Malaysia tunggu keputusan Arab Saudi
Haji 2021 Malaysia tunggu keputusan Arab Saudi
PutraJaya, MTN – Kerajaan masih belum menerima sebarang maklumat daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung keputusan larangan jemaah luar negara mengerjakan haji bagi tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya akan cuba mendapatkan maklumat berhubung perkara itu daripada Kerajaan Arab Saudi, tetapi tidak dapat menjangka berapa lama keputusan akan diperoleh mengenainya.
“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang maklumat berhubung larangan mengerjakan haji tahun ini daripada Arab Saudi, Insya-Allah saya akan dapatkan keputusan itu dan umumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Produk Dana Maybank Mixed Assets-I Wakaf kerjasama antara Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd di Kompleks Islam Putrajaya.
Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Maybank Asset Management dan Maybank Asset Management Sdn Bhd, Datuk Idris Kechot; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Madya Dr Amir Shaharuddin; Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Asset Management Sdn Bhd, Ahmad Najib Nazlan serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abd Aziz Jusoh.
Pada majlis berasingan, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan raya kepada 100 penghantar makanan sempena Program Ihya Ramadan bersama Food Riders Putrajaya.
Media baru-baru ini melaporkan Kerajaan Arab Saudi sedang mempertimbangkan untuk melarang jemaah haji luar negara mengerjakan haji tahun ini berdasarkan kemunculan varian baharu COVID -19 pada peringkat global hingga mengundang kegusaran kerajaan negara itu untuk membuka pintu masuk kepada jemaah luar negara.
Mengulas pelancaran program wakaf itu, Zulkifli berkata, kerajaan komited memperkasakan pengurusan wakaf dengan memberi penekanan terhadap peranan wakaf sebagai sebahagian agenda inklusif kerajaan melalui kerjasama YWM dengan agensi Kerajaan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Katanya, dengan wujudnya pelbagai kerjasama dalam memperkasa wakaf, tidak mustahil wakaf boleh dijadikan sektor ketiga negara yang menjadi pelengkap kepada sektor awam dan swasta.
Dana Maybank Mixed Assets-I Wakaf adalah produk pelaburan dana Islam runcit patuh syariah pertama ditawarkan Maybank Asset Management Sdn Bhd, manakala dana wakaf tunai yang keempat diuruskan YWM.
Sementara itu, Zulkifli menafikan dakwaan warga net bahawa beliau tidak menumpu kepada kerja pentadbiran agama Islam, sebaliknya menjalankan kerja kebajikan.
Katanya, beliau masih menghadiri mesyuarat kementeriannya setiap hari dan pihak terbabit boleh merujuk kepada jadual hariannya.
“Kita juga mempertingkat pentadbiran di kementerian termasuk menyelesaikan banyak masalah berhubung pelbagai perkara,” katanya. [BH]
Author Profile
Latest entries
- InternationalJanuary 17, 2025Thailand kemas kini program visa jangka panjang
- InternationalJanuary 16, 2025Perjanjian gencatan senjata di Gaza dimeterai, mula Ahad ini
- Seni & HiburanJanuary 16, 2025Lisa Surihani pilih naskhah punya nilai keagamaan
- NationalJanuary 15, 2025Panglima baru ATM tak lama lagi, tunggu perkenan Agong