Ismail Sabri Harus Panggil Sidang Khas Parlimen Bahas Isu Bos SPRM | Malaysia News
Ismail Sabri Yakoob - Azam Baki

Ismail Sabri harus panggil sidang khas parlimen bahas isu bos SPRM

Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa supaya siasatan penuh dilakukan bukan sahaja terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, tetapi juga kepada ketua-ketua pesuruhjaya SPRM yang telah berkhidmat sebelum ini.

Menurut kenyataan bersama itu, siasatan itu perlulah dijalankan oleh badan bebas yang tidak mempunyai kaitan dengan SPRM.

“Pada masa yang sama, ketua pesuruhjaya dan pengerusi Lembaga Penasihat SPRM sedia ada perlu direhatkan sehingga siasatan bebas tersebut selesai.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, seperti yang telah didakwa pelbagai pihak,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.

Azam sebelum ini terpalit dengan dakwaan pemilikan sahamnya kira-kira dua juta unit dalam beberapa syarikat.

Bagaimanapun, dalam satu sidang media khas pada 5 Januari, LPPR berkata mereka dimaklumkan oleh Azam bahawa akaun saham miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

PM tak boleh berdiam diri

Mengulas lanjut mengenai penjelasan Azam itu, Majlis Presiden PH menyarankan supaya Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri tidak boleh hanya berdiam diri.

“Selaku ketua majlis, dia harus memanggil sidang parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki.

“Dia juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai-pegawai SPRM,” menurut kenyataan itu.

Menurut PH, kenyataan Azam menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan yang melibatkan akaun saham Azam yang digunakan untuk membeli berjuta-juta saham bagi pihak adiknya.

“Ini melibatkan undang- undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini.

“Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan, kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya.

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
7 Januari 2022

SIASATAN BEBAS TERHADAP KETUA PESURUHJAYA SPRM DAN…

Posted by Anwar Ibrahim on Thursday, January 6, 2022

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •