JDT Jadi Kelab Bernilai RM1 Bilion | Malaysia News

JDT Jadi Kelab Bernilai RM1 Bilion

JDT Jadi Kelab Bernilai RM1 Bilion

ISKANDAR PUTERI, Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyasarkan nilai kelab Harimau Selatan itu bakal mencecah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Titah baginda, sasaran itu bakal dicapai mengambil kira kesemua aset milik JDT seperti hartanah, stadium serta fasiliti lain.

“JDT telah mengumpul semua sekali aset kelab dan kami menyerahkan kepada empat syarikat perakaunan untuk membuat penilaian kepada semua aset komersial JDT.

Setakat ini, sebanyak RM600 juta yang telah dikaji dan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun untuk mencapai sasaran RM1 billion itu,” titah baginda kepada pemberita di Ibu Pejabat JDT di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata stadium baharu JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim akan beroperasi secara rasmi pada 25 Januari depan.

“Wakil Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan hadir untuk melakukan pemeriksaan bagi memastikan stadium itu mengikut piawaian ditetapkan badan induk bola sepak Asia tersebut,” titah baginda.

Tunku Ismail turut mengumumkan JDT memperuntukkan sebanyak RM75 juta bagi membina beberapa fasiliti baharu kelab juara Liga Super itu.

Antara fasiliti itu termasuk pusat latihan baharu, stadium mini berkapasiti 8,000 penonton dan dua padang tertutup di kawasan Stadium Sultan Ibrahim.

“Pusat Latihan di Sri Gelam akan beroperasi sebagai pusat rawatan yang dilengkapi dengan peralatan kesihatan bertaraf dunia,” titah baginda.

Sementara itu, mengenai penyertaan Liridon Krasniqi dalam kelab itu pada musim depan, Tunku Ismail menyifatkan pemain itu seorang yang bekerja keras, komited dan sangat profesional.

JDT mengumumkan bekas pemain Kedah itu menyertai pasukan berkenaan dalam sidang media oleh Ketua Jurulatih, Benjamin Mora di sini, hari ini.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply