JPJ kaji penggunaan AI
JPJ kaji penggunaan AI
JPJ tingkat usaha penguatkuasaan digital, kaji penggunaan AI
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meningkatkan usaha penguatkuasaan secara digital dan mengkaji penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan pesalah trafik dengan lebih efektif.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ia antara tindakan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan yang mengakibatkan risiko kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi.
Beliau berkata pegawai penguat kuasa akan meningkatkan pemeriksaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik, terutama di lebuh raya dan kawasan yang sering berlaku kemalangan.
“Dengan penggunaan teknologi ini, JPJ dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan meminimumkan kesalahan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, semalam.
Aedy Fadly berkata JPJ juga akan melancarkan kempen kesedaran awam secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.
Beliau berkata program itu menyasarkan golongan pemandu muda dan berisiko tinggi, dengan fokus pada aspek keselamatan seperti pemakaian tali pinggang keledar, kelajuan selamat, dan tingkah laku yang bertanggungjawab di jalan raya.
Selain itu, beliau berkata JPJ juga bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di seluruh negara serta memastikan semua kenderaan yang beroperasi mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
Beliau berkata pemeriksaan berkala dan pengawasan yang ketat akan diteruskan, terutamanya untuk kenderaan awam dan komersial.
Aedy Fadly berkata JPJ akan terus berusaha memperkukuh kerjasama dengan syarikat pengangkutan dan persatuan industri untuk memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.
“Dengan langkah-langkah yang lebih ketat terhadap kenderaan komersial, seperti bas dan lori, JPJ berharap dapat mengurangkan kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di jalan raya.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa, pemandu, penunggang, dan semua pengguna,” katanya.
[Bernama]
Author Profile
Latest entries
- NationalJanuary 19, 2025Perjanjian perdagangan bebas M’sia-UK dijangka tingkat pelaburan
- InternationalJanuary 17, 2025Thailand kemas kini program visa jangka panjang
- InternationalJanuary 16, 2025Perjanjian gencatan senjata di Gaza dimeterai, mula Ahad ini
- Seni & HiburanJanuary 16, 2025Lisa Surihani pilih naskhah punya nilai keagamaan