Kenyataan PN Berhubung Angka Sokongan Majoriti Sebagai Pramatang, Mustahil | Malaysia News
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Kenyataan PN berhubung angka sokongan majoriti sebagai pramatang, mustahil

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, bahawa gabungan itu mempunyai jumlah surat akuan berkanun melebihi 112 untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu sebagai pramatang, mustahil dan tidak konklusif.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana, mengambil pendirian Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebarang akuan berkanun atau rundingan dengan parti-parti lain oleh mana-mana Ahli Parlimen UMNO, adalah tidak sah dan tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada mana-mana calon Perdana Menteri.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan Ahli Parlimen itu hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang telah mereka tandatangani.

“Pada masa sama, kami mengambil maklum penafian (Bendahari Agung BN) Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bahawa satu kenyataan media yang tular menyatakan 10 Ahli Parlimen UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Hamzah Zainudin

Terdahulu, Hamzah dalam kenyataan memaklumkan PN telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Saifudin Nasution berkata, PH telah memasuki rundingan serius dengan BN berhubung kerjasama bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dan perbincangan mengenainya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang hari ini.

Namun, Al-Sultan Abdullah hari ini memperkenan tempoh berkenaan dilanjutkan hingga 2 petang esok, susulan permohonan ketua parti-parti dan gabungan parti politik.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 pada 19 Nov menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30). Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi. [BERNAMA]

 

Facebook Comments