Lesen Finas Bagi Warganet - Saifuddin Abdullah | Malaysia News

Lesen Finas bagi warganet – Saifuddin Abdullah

Lesen Finas bagi warganet – Saifuddin Abdullah

MTN – 24 Julai Saifuddin Abdullah membuat Kenyataan Media pada twitter nya yang mengatakan bahawa “Kerajaan Malaysia mendokong kebebasan media dan media sosial, Akta Finas akan dipinda”.

Semalam, 23 Julai banyak warganet yang menyindir pengumuman beliau bahawa semua bentuk penggambaran memerlukan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, termasuk untuk rakaman media sosial peribadi.

Warganet persoal, ‘troll’ pengumuman Saifuddin

Ramai pengguna media sosial hari ini menyuarakan kebimbangan, dan pada masa sama menyindir, pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah bahawa semua bentuk penggambaran memerlukan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, termasuk untuk rakaman media sosial peribadi.

Ada yang membangkitkan persoalan kesan undang-undang itu terhadap orang awam dan media sosial, manakala yang lain memuat naik video kucing dan bertanya jika menteri juga melanggar undang-undang kerana memuat naik video di akaun media sosial mereka.

Semalam Saifuddin memuat naik video dirinya menghadiri satu program belia di Twitter, dan hari ini sejumlah warganet bertanya sama ada beliau mempunyai lesen Finas untuk berbuat demikian.

“Nak tengok lesen yang diluluskan untuk video ini diterbit kalau tak kami lapor ramai-ramai,” seloroh seorang pengguna Twitter ketika membalas ciapan Saifuddin.

“Menteri ada lesenkah untuk sebarkan video ini?” soal seorang lagi.

Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mengongsikan semula videonya mempromosikan tempat-tempat menarik di kawasan Parlimennya, dan juga bertanya sama ada dia perlu membayar RM50,000 untuk mendapatkan lesen Finas atau tidak.

“Kasi can-lah. Majoriti netizen tak mampu nak bayar RM50,000 untuk muat naik video di media sosial,” katanya.

Pelawak Jason Leong pula memuat naik video dirinya merayu orang ramai agar memberi sumbangan kepadanya untuk memohon lesen agar dia dapat terus berkongsi video di media sosial.

Pengguna Twitter turut mempersoalkan sama ada semua pengguna Youtube dan TikTok boleh dikira sebagai melanggar undang-undang.

Aktivis sosial Marina Mahathir turut bertanya sama ada pengumuman itu bermakna Kementerian Pengajian Tinggi melanggar undang-undang apabila menggesa orang ramai untuk membuat video TikTok ketika perintah kawalan pergerakan sebelum ini.

Seorang pengguna Twitter yang menggunakan anam Emilio Daniel berkata pengumuman tersebut akan menjejaskan industri filem bebas dan berharap ia dipertimbangkan semula.

“Ini akan menjejaskan seluruh industri filem bebas dan anda memadamkan harapan remaja yang mempunyai impian yang besar.

“Tolong fikir semula, atau sekurang-kurangnya permudahkan mereka untuk dapatkan lesen itu kerana saya telah baca keperluan (yang dinyatakan) Finas,” katanya.

Ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin berkata semua bentuk penggambaran, termasuk rakaman media sosial peribadi, memerlukan lesen daripada Finas.

Ditanya adakah keperluan lesen itu turut diterpakai ke atas mereka yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok, dia berkata semua penggambaran tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

“Penerbit filem, wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau media personal yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

“Kita memang galakkan semua orang kecil besar, tua muda, individu atau organisasi untuk mengeluarkan apa-apa jenis filem seperti yang saya petik tadi asalkan ikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Akta Finas merujuk filem sebagai sebarang bahan yang dirakamkan termasuk filem pendek, dokumentari, trailer dan filem iklan.

Menurut laman web Finas, untuk mendapatkan lesen bagi pembikinan filem dan penggambaran video, pemohon mesti berdaftar sebagai pemilik Syarikat Sdn Bhd dan mempunyai modal berbayar tidak kurang daripada RM50,000.

 

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply