Mahathir: Kerajaan Mahu Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Wuhan | Malaysia News

Mahathir: Kerajaan Mahu Bawa Pulang Rakyat Malaysia di Wuhan

Mahathir: Kerajaan Mahu Bawa Pulang Rakyat Malaysia di Wuhan

Putrajaya, MTN – Kerajaan bercadang untuk membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China berikutan wabak koronavirus.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan China bagi membolehkan pesawat Malaysia memasuki kawasan berkenaan.

Mahathir berkata rekod kerajaan menunjukkan sejumlah 78 warga Malaysia kini terperangkap di Hubei, susulan langkah kerajaan China menutup pergerakan keluar masuk di wilayah itu, bagi menghalang penularan virus novel koronavirus (2019-nCoV).

“Kita baru buat keputusan dan akan berbincang dengan China.

“Sekiranya didapati positif koronavirus atau berada lebih lama di wilayah itu, kita akan kuarantinkan mereka di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia di wilayah Hubei didapati kekurangan makanan dan keperluan.

“Setakat ini bekalan yang ada pada mereka dapat menampung sehingga empat hari sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan berdepan dengan masalah sekiranya rakyat Malaysia tidak dapat keluar daripada Hubei.

“Rakyat Malaysia yang berada di Wuhan sekarang tak boleh keluar, kita nak bincang dan runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tak sakit boleh balik ke Malaysia.

“Mereka akan diperiksa bila sampai ke Malaysia, jika ada bukti mereka sakit (dijangkiti) koronavirus, atau mereka berada di sana (Hubei) lama, mereka akan dikuarantin sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya ketika sidang media hari ini.

Selain daripada membawa pulang rakyat, Dr Mahathir berkata, kerajaan bersedia menyumbang bekalan makanan dan keperluan kepada China untuk disalurkan di wilayah terjejas koronavirus.

“Kalau mereka benarkan pesawat kita masuk, kita akan bawa masuk bekalan makanan dan topeng muka serta sarung tangan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Jepun membuat keputusan bagi membawa pulang lebih kurang 650 rakyatnya yang terperangkap di Wuhan selepas kerajaan China telah menghalang sebarang pergerakan keluar dan masuk dalam mengekang penularan wabak itu.

Setakat ini 2019-nCoV telah mengorbankan 135 nyawa dengan kira-kira 6,000 kes di China.

Mengulas keadaan kesihatan semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan ketika ini, Dr Mahathir berkata, setakat ini kesemua 78 mereka disahkan tidak dijangkiti dengan coronavirus.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply