Mahathir kritik Idrus Harun: Tafsir ikut budi bicara bukan undang-undang
Mahathir kritik Idrus Harun: Tafsir ikut budi bicara bukan undang-undang
MTN – Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengkritik pendirian peguam negara, Idrus Harun berhubung sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Ini selepas Idrus menegaskan tiada fakta jelas menunjukkan Muhyiddin hilang sokongan majoriti meskipun Umno telah membuat pendirian menarik balik sokongannya kepada Muhyiddin.
“Itu nampak undang-undang ini dia berjalan kaki kiri, kaki kanan pun dia tak tahu. Ada kala kaki kiri, ada kala kaki kanan.
“Dan kita tak boleh lagi bergantung pada undang-undang, kerana undang-undang ini ditafsir dan dikuatkuasakan mengikut budi bicara bukan mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.
Dakwa ahli parlimen Langkawi itu, undang-undang tidak dilaksanakan dengan sejajar.
Idrus berkata, pengumuman oleh Umno awal pagi tadi tidak boleh digunakan untuk menentukan majoriti dimiliki Muhyiddin, memandangkan ia harus ditentukan oleh ahli parlimen itu sendiri, bukan kenyataan media parti atau pemimpin politik.
Pun begitu, kata Mahathir, menerusi kenyataan partilah Muhyiddin meraih kuasa selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Februari tahun lalu.
“Kami ingin beritahu bahawa di waktu Muhyiddin mendakwa dia mendapat sokongan majoriti, dia juga tidak mengambil persetujuan daripada setiap wakil rakyat, khususnya dari Bersatu.
“Daripada Bersatu, kami enam orang tak menyokong, tapi dimasukkan juga seolah-olah kami menyokong. Jadi ini adalah satu pembohongan. Jika kenyataan dibuat oleh presiden parti tak boleh diterima, sepatutnya kenyataan Muhyiddin tak diterima.
“Tapi diterima, dan Muhyiddin diisytihar sebagai perdana menteri. Tapi kali ini pula, kenyataan presiden parti tak boleh diambil kira,” katanya. [MK]