Mahkamah Tolak Permohonan Najib Dapatkan Dokumen 1MDB | Malaysia News

Mahkamah tolak permohonan Najib dapatkan dokumen 1MDB

Mahkamah tolak permohonan Najib dapatkan dokumen 1MDB

Mahkamah tolak permohonan Najib dapatkan dokumen 1MDB

Kuala Lumpur, MTN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pembabitan anggota keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Mahkamah juga menolak permohonan pendakwaan mengemukakan dokumen serta penyata bank berkaitan dengan ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low selain dokumen perjanjian sulit di antara kerajaan dan bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menyifatkan permohonan itu pramatang dan tidak relevan untuk mengaitkannya dengan kes 1MDB yang dihadapi oleh Najib.

“Saya tidak melihat bagaimana dokumen bank itu mempunyai kaitan penerimaan dana dengan keluarga Dr Zeti adalah relevan untuk kegunaan pihak pembela,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dan bekas Perdana Menteri itu berada dalam prosiding pagi ini ketika keputusan permohonan ini dibacakan.

Pada 24 Mac lalu, Najib selaku pemohon memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata bank dan lain-lain dokumen kepada pihak pembelaan.

Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan Jho Low dan anggota keluarga Zeti.

Pada 5 April lalu, pasukan pembelaan Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs.

Goldman Sachs dikatakan telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5bilion (RM10.4bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4bilion (RM5.8bilion) yang dirampas di seluruh dunia.

Ia sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika Syarikat itu.

Dalam afidavit disahkan oleh Najib bagi menyokong permohonannya berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Antara dokumen yang dipohon itu adalah daripada syarikat Aktis Capital Singapore Limited, Country Groups Securities Public Companies, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited dan Central Holding Limited serta beberapa lagi dokumen berkaitan.

Collin juga menolak permohonan lain Najib bagi mendapatkan rekod telefon bimbit daripada pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner selepas mengambil kira pendedahan pendakwaan yang bertegas mereka tidak memiliki dokumen terbabit.

Najib berdepan perbicaraan berkenaan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Ambanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan dijadual bersambung semula bulan depan selepas ditangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19. [MG]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply