Malaysia Sarong Music Run 2025 di KLCC

Malaysia Sarong Music Run 2025 di KLCC
KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai bersama-sama meraikan warisan budaya Malaysia yang kaya dan unik dalam suasana penuh harmoni pada Malaysia Sarong Music Run 2025 di Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau percaya penglibatan setiap generasi serta kaum di negara ini dapat mengangkat dan mempromosi warisan budaya negara selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
“Insya-Allah, kita ketemu esok di Malaysia Sarong Music Run 2025!
“Acara ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia tetapi juga memperkukuh perpaduan, sejajar dengan penganjuran ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Malaysia Sarong Music Run 2025 merupakan acara menyatukan masyarakat dari segenap lapisan umur untuk menggalakkan gaya hidup aktif sambil mempamerkan produk pelancongan Malaysia.
Larian istimewa itu menyerlahkan kepelbagaian budaya negara menerusi laluan dengan pemandangan indah, persembahan kebudayaan, muzik tradisional dan pertunjukan masakan sekali gus meraikan warisan dan perpaduan Malaysia dalam suasana yang meriah dan terangkum.
Acara anjuran Keretapi Sarong, Locco itu menonjolkan budaya negeri-negeri di Malaysia, menampilkan persembahan seperti dikir barat dan wau bulan daripada Kelantan, kuda kepang (Johor), tarian sumazau (Sabah), tarian tradisional Melayu dari pelbagai negeri dan pameran lain yang mengangkat warisan budaya Malaysia.
Turut diketengahkan hidangan tradisional seperti rendang tok daripada Perak, pasembor (Pulau Pinang), nasi ambeng (Johor), patin tempoyak dan sambal hitam (Pahang), nasi dagang (Terengganu) dan pelbagai lagi menu tradisi yang mewakili keunikan setiap negeri.
[Bernama]
Author Profile

Latest entries
NationalNovember 21, 2025UPSI lancar lima inisiatif integriti perkukuh tadbir urus universiti
NationalNovember 21, 2025Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan
NationalNovember 14, 2025UPSI rai pengorbanan ibu dalam kejayaan anak di Istiadat Konvokesyen
EkonomiNovember 13, 2025MOF – RM17.5 Bilion demi Kesejahteraan Rakyat Sabah



