Sarawak Negeri Sekular | Malaysia News

Sarawak Negeri Sekular

Sarawak Negeri Sekular

Sarawak Negeri Sekular

Dengan Putrajaya dilanda kritikan berhubung cadangan garis panduan bagi umat Islam menghadiri acara di rumah ibadat bukan Islam, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyatakan bahawa negeri itu tidak memerlukannya.

Menyifatkan Sarawak sebagai negeri “sekular”, Setiausaha Agung SUPP, Sebastian Ting, berkata mereka mendapati garis panduan yang dicadangkan itu “tidak perlu dan keterlaluan”.

“Walaupun kami sepenuhnya memahami dan menghormati cadangan menteri mengenai garis panduan tersebut, pendirian utama kami adalah bahawa tiada agama rasmi di Sarawak.

“Oleh itu, ‘Sarawak yang sekular’ termaktub dalam perlembagaan kami dan juga Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan perkara ini mesti diambil kira apabila mencadangkan sebarang garis panduan berkaitan agama, termasuk Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan garis panduan baharu.

Antara lain, penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara melibatkan umat Islam, dan acara tersebut tidak boleh mengandungi elemen yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Selepas menerima reaksi negatif, Na’im berkata garis panduan itu masih dalam semakan. Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula menyatakan bahawa kabinet akan membincangkan perkara tersebut hari ini.

Tidak bantu promosikan perpaduan

Mengulas lanjut, Ting berkata kawalan berlebihan terhadap amalan agama dan terlalu berhati-hati mengenai sensitiviti keagamaan – terutamanya apabila isu tersebut bukan kebimbangan sebenar rakyat – boleh mencetuskan perpecahan.

Katanya, peraturan yang tegar seperti itu boleh membawa kepada salah faham, kecurigaan, dan juga rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat yang telah lama hidup secara harmoni.

“Daripada memupuk perpaduan, ia boleh mencipta jurang pemisahan yang sebenarnya tidak ada sebelum ini.

“Pendekatan yang lebih baik adalah dengan menggalakkan dialog terbuka, pemahaman bersama, dan pendidikan mengenai kepelbagaian agama sambil membenarkan rakyat mengekalkan tradisi mereka secara bebas,” kata Ting.

Pemimpin SUPP itu turut memuji pendekatan Sarawak dalam meraikan kepelbagaian, yang berasaskan penghormatan bersama serta sering meraikan perayaan dan tradisi satu sama lain.

“Perpaduan ini berakar umbi dalam budaya Sarawak, melalui perkahwinan antara agama, komuniti berbilang etnik, dan semangat kekitaan yang kuat adalah perkara lazim.

“Dan Sarawak membuktikan bahawa kepercayaan serta kewujudan bersama secara semula jadi adalah lebih berkesan daripada kawalan yang berlebihan,” katanya.

Terdahulu hari ini, bekas menteri Rafidah Aziz turut mengkritik cadangan garis panduan tersebut, sambil menegaskan bahawa keimanan umat Islam tidak rapuh atau berasaskan kejahilan.

“Kita bukan jahil, iman kita tidak begitu lemah sehingga perlukan pengawasan,” katanya.

[MKini]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply