Memalukan Negara? Najib Razak tuding jari pada skandal forex era Mahathir
Memalukan Negara? Najib Razak tuding jari pada skandal forex era Mahathir
MTN – Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak menolak penilaian hakim Abdul Karim Abdul Jalil bahawa tindakannya dalam kes SRC International bukan perkhidmatan buat negara, sebaliknya memalukan Malaysia.
Najib membangkitkan skandal dagangan tukaran wang asing (forex) pada 90-an yang dikaitkan dengan musuh politiknya Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri kali pertama.
“Bukankah itu lebih memalukan negara,” soal Najib dalam sidang media atas talian selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan dia bersalah.
Katanya, sepanjang karier, dia sentiasa menumpukan usaha untuk kepentingan negara.
Sebagai contoh, katanya, selama menjadi perdana menteri, aset negara berkembang daripada RM800 bilion kepada RM2 trilion.
“Sudah tentu saya sedih dipanggil begitu, kerana sepanjang karier saya sebagai Perdana Menteri, saya fokus dalam mempromosi kepentingan negara.
“Ketika saya memegang jawatan, aset keseluruhan negara meningkat dari RM800 juta kepada RM2 trilion.
“Saya banyak mencipta kekayaan kepada negara, ini hanya contoh yang saya berikan,” jelasnya dalam sidang media secara dalam talian pada Rabu.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil ketika membacakan keputusan menjelaskan pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib bukan satu kepentingan negara, sebaliknya memalukan negara.
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.
“Jika kita nak bercakap mengenai ‘memalukan negara’, ada skandal lain seperti isu forex di mana negara hilang RM31 bilion.
“Jika itu kita letakkan dalam konteks, tidakkah ia lebih beri kesan besar kepada pelaburan negara. Saya cuma nak bagi perspektif yang betul,” jelasnya.
Mengulas lanjut, tambah Najib, ada skandal lain yang turut melibatkan kehilangan wang negara.
Menurut suruhanjaya siasatan diraja yang menyiasat perkara itu, Bank Negara rugi RM31.5 bilion daripada tahun 1992 hingga 1994.
RCI itu yang ditubuhkan ketiga Najib menjadi Perdana Menteri juga memutuskan Mahathir turut bertanggungjawab atas kerugian itu.