Mengapa PM Ismail Sabri Begitu Bertegas Melindungi Azam Baki ? | Malaysia News

Mengapa PM Ismail Sabri begitu bertegas melindungi Azam Baki ?

Tony Pua - Ismail Sabri Yaakob - Azam Baki

Mengapa PM Ismail Sabri begitu bertegas melindungi Azam Baki ?

Mengapa Perdana Menteri Ismail Sabri begitu bertegas melindungi Azam Baki yang mempermainkan institusi tertinggi negara?

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata adalah tidak menghairankan apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki enggan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Ini kerana dakwanya, Azam baki “tidak dapat menceritakan hal yang sebenar”.

Ini susulan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjelaskan bahawa tiada bukti Azam melakukan perdagangan secara proksi selain mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.

“Pertama, (Azam) mendakwa saham itu milik adiknya, yang menggunakan akaunnya.

“Kemudian, apabila SC siasat, mereka mendapati tiada salah laku kerana mereka mendapati tiada dagangan proksi kerana Azam menjalankan urus niaga saham itu sendiri,” kata Pua dalam satu kenyataan malam tadi.

Pua juga turut mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob seolah-olah melindungi Azam berhubung pegangan sahamnya.

Mengapa Ismail Sabri begitu bertegas melindungi seorang ketua pesuruhjaya SPRM yang bukan dia lantik?

“Kami menyeru perdana menteri untuk menunjukkan komitmennya memerangi rasuah dalam pentadbirannya dan melindungi integriti SPRM, yang telah tercemar teruk oleh Azam,” kata Pua.

Katanya, sekiranya perdana menteri tidak mahu menggunakan kuasanya, sekurang-kurangnya Ismail Sabri harus memberi ruang kepada PSC bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri menjalankan tanggungjawabnya untuk mendapatkan penjelasan daripada Azam.

Keengganan Azam untuk menghadiri PSC secara tertutup sekalipun disifatkan sebagai mempermainkan institusi tertinggi negara,” kata Pua.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada mulanya dijadual bermesyuarat semalam untuk membincangkan urusan pembelian saham Azam.

Bagaimanapun, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, ia ditangguhkan ke tarikh yang akan diputuskan kemudian disebabkan isu-isu yang perlu dirujuk kepada penasihat undang-undang Parlimen.

Azam mencuri tumpuan susulan pendedahan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad menurun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016. Namun ia bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham berkenaan pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau sebaliknya dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.

Azam kemudian mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adiknya atas namanya. Ini mendorong SC melakukan siasatan berhubung kemungkinan berlaku penyalahgunaan akaun dagangannya. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply