Mengembalikan Mandat Rakyat - 'Keutamaan PH Ambil Alih Semula Kerajaan' | Malaysia Top News
May 27, 2020

Mengembalikan Mandat Rakyat – ‘Keutamaan PH Ambil Alih Semula Kerajaan’

Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan akan meningkatkan usaha mengembalikan mandat rakyat untuk mengambil alih semula kerajaan.

Perkara itu ditegaskan selepas mesyuarat di antara pimpinan utama PH yang dipengerusikan Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang bersama pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Shafie Apdal hari ini.

Menurut mereka, wujud masalah keabsahan membabitkan kerajaan baru berikutan kegagalan untuk menguji sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di parlimen.

“Mesyuarat telah sebulat suara bersetuju untuk menegaskan tekad dan meningkatkan usaha mengembalikan mandat rakyat dengan keutamaan mengambil alih semula kerajaan.

“Ini kerana mesyuarat bersependapat bahawa wujudnya masalah keabsahan (legitimacy) kerajaan yang berlaku akibat kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin menguji sokongan beliau di kalangan ahli-ahli Parlimen di parlimen pada esok hari,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan reaksi blok pembangkang terhadap persidangan parlimen yang diadakan esok.

Sebelum ini Dewan Rakyat memaklumkan sidang yang dijadualkan berlangsung sehari itu hanya akan mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melibatkan sebarang urusan lain.

Ia sekali gus menutup pintu untuk sebarang usul undi tidak percaya dibuat terhadap Muhyiddin yang mengangkat sumpah jawatan itu pada 1 Mac lalu.

Dalam kenyatannya hari ini, PH sekali lagi menegaskan bahawa sokongan terhadap Muhyiddin selaku perdana menteri harus diuji di parlimen.

“Kami sebulat suara dan bersatu hati menegaskan bahawa parlimenlah institusi demokrasi ulung negara yang perlu berfungsi dengan baik bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan tanpa sekatan, di mana sokongan buat seseorang perdana menteri perlu diuji dan disahkan, serta tempat di mana Rang Undang-Undang dan masalah rakyat perlu dibincang, dibahas dan diputuskan.

“Kami juga tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengadakan sidang untuk hanya mendengar Titah Diraja, serta menegaskan pendirian pembangkang bahawa parlimen boleh dan mesti bersidang lebih dari apa yang diusahakan kerajaan sekarang demi menyegerakan penyelesaian masalah rakyat,” tegasnya.

Selain itu, PH juga menegaskan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM260 bilion yang diumumkan Muhyiddin sehingga kini masih belum dibentang dan diluluskan parlimen.

“Ahli-ahli parlimen mesti diberi peluang untuk membahaskan pakej rangsangan ini bagi memastikan tiada ketirisan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat,” katanya.

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •