Menjelang Sidang APEC November 2020, Apakah Tun M mahukan Anwar Dipenjara Lagi?
Menjelang Sidang APEC November 2020, Apakah Tun M mahukan Anwar Dipenjara Lagi?
Dalam interbiu dengan Reuters, meskipun Tun Mahathir Mohamad seperti menunjukkan keikhlasannya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim selepas Sidang APEC pada November 2020, beliau bagaimanapun agak berbelit di hujung kata-katanya.
Sementara menegaskan akan menunai dan mengotakan janjinya itu, beliau kemudian berkata, ia terpulang kepada keadaan pada waktu itu.
“Setakat yang saya tahu, saya akan berundur dan menyerahkan kuasa kepadanya.
“Jika rakyat tidak mahu dia, itu hal mereka, tetapi saya akan kotakan janji saya.
“Tidak kira apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan kotakan janji saya,” kata Tun Mahathir lagi.
Bagaimanapun, ketika ditanya jika begitu, adakah peralihan kuasa akan berlaku pada Disember 2020, Tun Mahathir berkata, “kita akan lihat bila tiba masanya nanti”.
Kenapakah setelah mengatakan akan menunai dan berpegang kepada janji penyerahan kuasa itu, beliau seolah-olah masih kabur tentangnya?
Mengapa masih dikatakan “kita akan lihat bila tiba masanya nanti”?
Mengapa begitu susah untuk Tun Mahathir mahu menyebut perkataan “Ya” atau “Pasti” bagi mengiringi keyakinannya akan menunaikan janji penyerahan kuasa selepas Sidang APEC itu?
Kekaburan yang berterusan tentang peralihan kuasa ini, jika diperhatikan seolah-olah ada kaitan dengan aduan salah laku seks yang dibuat oleh tiba-tiba dilakukan Yusof Rawther terhadap Anwar, walaupun kejadian dilaporkan berlaku lebih setahun yang lalu.
Bahkan, ia ternampak lebih ada kaitan kerana terlihat begitu cepat diambil tindakan oleh pihak polis berbanding kes “video Haziq” yang sudah berbulan-bulan tapi masih tidak ketahuan.
Dalam hal ini, setelah beberapa saksi dilaporkan akan dipanggil dalam kadar segera dan kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan juga telah dibuka, apakah jalan ceritanya menunjukkan Anwar akan ke penjara sekali lagi?
Apakah episod 1998 berulang kembali?
Seiring dengan kata-kata Tun Mahathir bahawa beliau akan melakukan penyerahan kuasa selepas November 2020, tetapi disusuli “kita akan lihat bila tiba masanya nanti”, adakah semua ini menunjukkan menjelang Sidang APEC itu nanti Anwar sudah pun dijatuhkan hukuman penjara dan tidak layak lagi menggantikannya sebagai Perdana Menteri?
Dalam konteks yang berkaitan, setelah Anwar dijatuhkan hukuman, apakah selepas itu kes “video Haziq” yang lebih mudah yang dikatakan membabitkan Azmin pula menyusul giliran masuk perbicaraan?
Maka itu, setelah Anwar dan Azmin masing-masing ada kesalahan dan Muhyiddin Yassin pula tidak berapa baik kesihatannya, siapakah lagi pilihan yang tinggal untuk menggantikan Tun Mahathir?
Barangkali ketika itu berkatalah Tun Mahathir bahawa beliau memang mahu menunaikan janji kepada Anwar atau memberi pilihan kepada calon-calon lain untuk menggantikannya, namun kerana mereka nampaknya ada masalah yang tersendiri, ia tidak dapat dilaksanakan seperti yang diinginya.
Lalu, selain Mukhriz, siapakah lagi calon lain yang tinggal untuk mengisi kerusi Perdana Menteri ketika itu?
Bolehkah ketika itu, sesiapa dalam PH membantah atau menonjolkan calon lain lagi? (ShahbudinHusin 11/12/2019)