MRCB menarik diri dari konsortium KL-SG HSR

MRCB menarik diri dari konsortium KL-SG HSR
Konsortium diteraju Berjaya Corporation Bhd, yang menyertai Proses Permintaan Maklumat (RFI) oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) mengumumkan satu daripada rakan kongsinya telah membuat keputusan untuk menarik diri.
Berjaya dalam kenyataan hari ini berkata Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) telah menarik diri dan akan meneruskan peluang strategik lain sekali gus tidak lagi menjadi sebahagian daripada konsortium KL-SG HSR.
“Konsortium ini, termasuk Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corporation Bhd dan rakan teknikal seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem akan diperkukuhkan lagi untuk lebih sejajar dengan keperluan projek yang semakin berkembang dan memenuhi harapan kerajaan,” katanya.
Konsortium berkenaan dan rakan teknikalnya adalah peneraju yang diiktiraf dalam pembangunan infrastruktur, kejuruteraan dan pengurusan pengangkutan, dengan kepakaran yang terbukti selama beberapa dekad dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar.
Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata kumpulan itu kekal komited dalam misi melaksanakan sistem HSR bertaraf dunia, menyasarkan untuk mentransformasikan kesalinghubungan serantau dan pembangunan ekonomi di Malaysia.
Menurutnya, selain itu ia berhasrat menyumbang kepada peralihan negara ke arah mobiliti hijau menerusi kereta api berkelajuan tinggi.
[Bernama]
Author Profile

Latest entries
EkonomiMay 22, 2025Harga minyak dijangka kekal tinggi sekitar AS$65 setong
EkonomiMay 21, 2025Peningkatan Industri Pendaratan Ikan Tuna di Pulau Pinang
IT & Social MediaMay 20, 2025‘Di sebalik manfaat AI, penjenayah siber juga ambil kesempatan’
NationalMay 14, 2025Aaron – 19 muzium dibuka secara percuma 18 Mei ini