Najib Jadi Mangsa 'Pendakwaan Terpilih' - Peguam | Malaysia News

Najib jadi mangsa ‘Pendakwaan Terpilih’ – Peguam

Najib jadi mangsa ‘Pendakwaan Terpilih’ – Peguam

Najib Razak menjadi mangsa “pendakwaan terpilih” dalam kes rasuah RM42 juta SRC International, kata peguam bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan hari ini.

Peguam Harvinderjit Singh merujuk tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dikenakan pihak pendakwaan kepada Najib.

Menurutnya, ia berlaku ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis merah untuk menangkap tiga individu lain bagi kesalahan CBT.

Ia berkaitan notis merah untuk menangkap bekas pengarah SRC Suboh Md Yassin, bekas CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang individu yang dikenali dengan nama Redzuan Adam Shah.

Ketiga-tiga individu itu didakwa keluar dari Malaysia setelah PH mengambil alih pentadbiran negara pada Mei 2018.

“Pada Jun atau Julai (2018), notis merah dikeluarkan terhadap tiga individu ini untuk CBT berjumlah RM50 juta.

“(Bagaimanapun) pendakwaan tiba-tiba buat keputusan untuk dakwa Najib,” katanya kepada panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil.

Abdul Karim kemudian berkata, pendakwa raya mempunyai budi bicara berhubung siapa yang akan didakwa.

Ketika perbicaraan kes tersebut, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar tentang kerumitan proses pengalihan wang sebanyak RM42 juta daripada akaun SRC.

Ketika itu, pendakwaan berhujah yang wang tersebut disalurkan melalui syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd, sebelum berakhir di akaun peribadi Najib di AmBank.

Suboh dan Nik Faisal diberi kuasa sebagai penandatangan untuk SRC dan Gandingan Mentari.

“Najib tidak bertanggungjawab terhadap CBT orang lain, dengan RM50 juta dibawa keluar,” kata Harvinderjit.

Panel terdiri daripada dua lagi hakim Mahkamah Rayuan, Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah ke atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan CBT, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta daripada SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazalimenjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan. [mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply