Najib Razak Bekas Perdana Menteri Masuk Penjara | Malaysia News
Notice: sanitize_url is deprecated since version 2.8.0! Use esc_url_raw() instead. in /home/kulf6423/public_html/malaysiatopnews.com/wp-includes/functions.php on line 4652
September 25, 2022
Najib Razak masuk penjara 12 tahun

Najib Razak bekas Perdana Menteri masuk penjara

Buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi yang pertama bekas perdana menteri yang dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib sekali gus menyaksikan perdana menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.

Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang kira-kira 5.43 petang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang.

Istana Kehakiman mula menjadi tumpuan orang ramai bagi mengetahui nasib Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional itu dengan perkarangan mahkamah dibanjiri lebih 300 penyokong termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Makkal Sakthi Datuk Seri RS Thanenthiran serta lebih 30 agensi media dari dalam dan luar negara mula berkumpul seawal pagi bagi membuat liputan kes tersebut.

Ketika hujan lebat seawal 7 pagi, kelihatan 10 bas yang membawa penyokong dari Pekan, Pahang terdiri daripada ahli UMNO dan ketua cawangan UMNO Pahang serta ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pahang parkir berhampiran Istana Kehakiman.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka, Datuk Mohd Nizar, Nooryana Najwa dan Norashman serta Datuk Mohd Nazifuddin turut hadir semasa prosiding itu.

Najib yang keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira 3.10 petang ketika prosiding ditangguhkan sementara, mendakwa beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya dan beliau sempat meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak berpihak kepada beliau.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.

Terdahulu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir bekas menteri kewangan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, Najib, 69, gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ketika prosiding bermula pada 9.40 pagi, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang dilantik Najib pada 26 Julai lepas bagi mewakilinya, mengemukakan permohonan supaya Hakim Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Hisyam memaklumkan bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan permohonan supaya hakim nombor satu negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut lewat malam tadi dan salinan permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, permohonan itu yang dikemukakan di saat-saat akhir ditolak oleh mahkamah.

Kemunculan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang digugurkan daripada menjadi peguam utama Najib, turut mencuri tumpuan selepas Hisyam memaklumkan kepada panel lima hakim bahawa Muhammad Shafee akan membantu beliau dalam permohonan menarik diri tersebut.

Hakim Tengku Maimun menolak permohonan itu atas alasan tiada sebab untuk menangguhkan prosiding penarikan diri beliau daripada mendengar rayuan Najib dan meminta Hisyam meneruskan hujahannya.

Sebelum panel lima hakim membuat keputusan berhubung rayuan akhir bekas Presiden UMNO itu, Najib yang membacakan pernyataan 20 muka surat dari kandang tertuduh, mendakwa badan kehakiman telah bersikap tidak adil terhadapnya kerana sepanjang minggu lepas, beliau menyaksikan peluangnya untuk berjaya dalam rayuan itu terhakis secara perlahan-lahan.

“Sebagai seorang tertuduh dan perayu di peringkat akhir kes, perasaan inilah yang paling teruk, iaitu apabila menyedari badan kehakiman menentang saya dengan cara yang paling tidak adil,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat itu memutuskan bahawa Najib tidak pernah mempertikai RM42 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya sepanjang perbicaraan kes penyelewengan dana SRC.

Dalam pada itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) telah membuat laporan polis berkenaan deraf kerja penghakiman berhubung rayuan akhir Najib, yang telah bocor kepada pihak media hari ini.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, pejabat itu merujuk kepada satu laporan yang disiarkan portal Malaysia Today hari bertajuk ‘Najib’s Razak SRC Appeal: The Judgement’ yang mengandungi deraf kerja yang belum dimuktamadkan serta dokumen bocor yang telah diubah suai.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Beliau sekali lagi dituduh di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta) yang merupakan hasil kegiatan haram dan kesemuanya kes itu dibicarakan bersama.

Pada 3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya adalah cacat.

Najib menghadapi empat lagi kes di mahkamah membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB, pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta. [Bernama]

Facebook Comments