Naratif Melayu Dalam Malaysia Baru | Malaysia News

Perlu diakui bahawa selepas PRU14, perubahan yang berlaku bukan sekadar dalam arena politik, tetapi suatu gelombang besar namun senyap sedang bergerak.

Keresahan terhadap masa depan orang Melayu dan Islam mula kedengaran dan semakin meluas.

Dalam era Malaysia Baru yang dikatakan berasaskan demokrasi, progresif, dan inklusif ini ia mempunyai tafsiran yang pelbagai.

Setiap kelompok cuba memaknakan istilah tersebut berdasarkan kecenderungan pegangan politik dan indentiti masing-masing.

Awalnya selepas PRU14, perubahan itu bersifat politik namun kini telah sifatnya berkembang menjadi lebih daripada sekadar perebutan kuasa.

Ia membentuk stigma antara kaum di negara yang semakin menjurang. Ini sekali gus boleh merosakkan pembinaan negara bangsa.

Kecenderungan perubahan ini bermula secara jelas sejak era reformasi tetapi gerakan tersebut tidak berupaya membuat perubahan besar dalam negara.

Jadi bualan merata-rata

Meskipun Anwar Ibrahim masuk penjara dua kali dan kerajaan BN dilanda pelbagai masalah, tiada kesan politik yang boleh mengubah keadaan.

Sebaliknya kemunculan semula Mahathir Mohamad sebelum PRU14 menjadikan suasana politik tanah air mengalami kejutan, dan diterjemahkan dengan keputusan rakyat untuk menukar parti pemerintah buat kali pertama sejak enam dekad lalu.

Sama ada Anwar, Mahathir atau sesiapa sahaja, strategi politik dalam memahami sosiobudaya masyarakat adalah sangat penting. Ini adalah soal budaya.

Salah satu stigma yang muncul dalam naratif Melayu pada era Malaysia Baru ialah masyarakat itu terancam. Sama ada benar atau tidak, itu bukan persoalannya, tapi naratif “Melayu terancam” menjadi wacana umum di merata-rata tempat.

Kejatuhan parti Melayu – Umno dan PAS – dalam PRU14 dianggap kejatuhan politik orang Melayu.

 

Meskipun Mahathir mengetuai kerajaan dan ada parti serpihan Umno – iaitu Bersatu – situasi tersebut masih tidak cukup kuat untuk menggantikan ikon kuasa politik Melayu baru.

Amanah pula masih tercari-cari hala tuju dan identiti parti selepas PAS kian mengukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu dan Pantai Timur.

PKR pula sedang bergelut membina kekuatan sedangkan DAP menjadi parti yang mendapat banyak faedah jika mereka bertindak lebih matang dan wajar.

Selalu diulang-ulang

Pandangan Mahathir yang kritis tentang Melayu bertitik tolak daripada pengalamannya sebagai perdana menteri dan anggota Umno.

Pandangan itu adalah kerana beliau mahu membantu orang Melayu maju dan berdaya saing dengan bangsa lain. Bahkan sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, Mahathir berpendirian begitu.

Mahathir menyebut bahawa Melayu itu malas, cepat berpuas hati, inferiority complex, tidak mahu bersaing, kurang daya tahan, enggan susah, kurang berusaha dan sebagainya selalu diulang-ulang. Begitu juga halnya dengan naratif Melayu yang perlu bertongkat.

Apakah perbezaan Melayu dalam pemikiran Mahathir dengan pemikiran Frank Swettenham serta Abdullah Munsyi? Ada persamaan dalam perbezaan.

Pemikiran ini wujud di bawah pengaruh penjajah dan bersifat sinikal. Pandangan itu bertitik tolak untuk memperkecilkan keupayaan orang Melayu.

Naratif ini ditanam oleh pihak kolonial bagi membentuk pemikiran kebergantungan kepada pihak berkuasa agar ia memudahkan penjajah menguruskan orang tempatan.

Hasrat Mahathir untuk memajukan orang Melayu ialah dengan membuang ‘tongkat’ yang selama ini digunakan mereka.

Mahathir percaya tongkat ini sudah menjadi puaka dan menghalang orang Melayu daripada meningkat maju.

Pada masa sama langkah ini diambil kesempatan oleh pihak lain secara tidak adil. Bagi orang Melayu yang konservatif, tongkat adalah simbol.

Harmoni, matang dan terbuka

‘Tongkat’ yang membantu Melayu selama ini dianggap sebagai sebahagian simbol kewujudan bangsa. Tanggapan ini lahir daripada pendekatan kerajaan dan mentaliti masyarakat Malaysia selama ini.

Sebarang langkah membuang atau sekadar cuba mengurangkan tongkat dianggap orang Melayu sebagai agenda mencabar kewujudan dan simbol bangsa.

Keghairahan membuat perubahan sehingga menganggu-gugat tongkat sebenarnya meresahkan orang Melayu konservatif. Itu langkah provokasi.

Sebagai tindak balasnya, Melayu konservatif bertindak secara provokasi juga.

Lalu naratif Melayu dan kaum lain dalam Malaysia Baru tidak keluar dari kepompong perkauman dan saling mengancam.

Naratif hidup bermasyarakat yang harmoni, matang dan terbuka mula terhakis dengan ketara.

Kelompok Melayu yang merdeka jiwanya tidak terikat dengan kebergantungan kepada pemimpin. Mereka tidak memerlukan ‘tongkat’.

Mereka juga tidak mengerumuni pemimpin politik seumpama semut menghurung gula. Tapi Melayu jenis sebaliknyalah yang dilahirkan oleh Umno sejak berdekad-dekad lamanya.

Kelompok Melayu ini minoriti tetapi kewujudannya sangat signifikan dan menjadi budaya yang berakar umbi dari tradisi Melayu sejati, pejuang dan pengembara alam.

 

Malangnya Melayu kategori ini tidak berada pada arus perdana. Keberadaan mereka sebagai seorang Melayu yang berjaya tidak terserlah lantaran cara hidupnya dipayungi dengan kesederhanaan.

 

Pemaknaan “kekayaan” dalam pemikiran Melayu terjajah cuma dalam kerangka material, sekular dan barat. Kekayaan ini diukur pada skala kebendaan.

 

Berkasih sayang, saling membantu

 

Inilah yang terkandung dalam buku Revolusi Mental dan Malay Dilemma. Sedangkan pemaknaan kekayaan dalam minda orang Melayu merdeka adalah lebih luas.

 

Inilah kegagalan sesetengah pemimpin Melayu hari ini. Mereka tidak dapat memahami maksud “kekayaan” dalam pemikiran orang Melayu sejati. Orang Melayu tidak gemar mempamerkan kekayaan mereka.

 

Inilah juga sebenarnya sifat orang timur yang merendah diri dan sederhana.

 

Cara dan gaya orang Melayu berfikir berubah dengan proses penjajahan, pemodenan dan globalisasi yang hampir tercabut dari akar umbinya.

 

Tapi sememangnya pemikiran apa bangsa pun akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa.

 

Perubahan itu mempunyai kaitan yang penting dengan kelangsungan atau kepupusan sesuatu bangsa. Perubahan yang baik adalah kekal pada akar yang sama tetapi puncaknya menjalar ke langit tinggi.

 

Amalan bergotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu adalah salah satu contoh budaya kesepakatan dalam masyarakat. Amalan ini lahir daripada sifat Melayu yang ringan tangan, berkasih-sayang dan kekitaan.

 

Malangnya sifat sepakat orang Melayu ini tidak menjadi dalam bidang perekonomian dan perniagaan.

 

Tidak seperti kaum Tionghua yang lebih memperlihatkan kesepakatan dan kebergantungan mereka dalam soal perniagaan dan identiti.

 

Budaya Melayu hidupnya saling bergantungan. Bukan kerana lemah tetapi kerana kuatnya rasa bermasyarakat dan bernegara. Budaya Melayu adalah kasih sayang, terbuka dan saling membantu. 

 

Atas nilai hidup orang Melayu yang sedemikianlah negara bangsa bernama Malaysia ini wujud. Melayu sanggup berkorban, berkongsi tanah dengan kaum-kaum lain yang bersetuju dengan kontrak sosial yang disepakati bersama.

 

Inilah kemuncak persefahaman yang tertinggi antara kaum di negara kita.

DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Facebook Comments

About The Author