PAU 2021 penentu Ismail Sabri ada ‘tulang belakang besi’ atau tidak
PAU 2021 penentu Ismail Sabri ada ‘tulang belakang besi’ atau tidak
Persidangan Agung Umno (PAU) 2021 akan menentukan sama ada Ismail Sabri Yaakob seorang perdana menteri yang memiliki keberanian sebenar serta akan dikenang ramai sebagai wira, atau sebaliknya pemimpin biasa, kata seorang ahli parlimen.
Menurut Hassan Abdul Karim, sebelum itu persoalan yang menjadi perhatian orang ialah, adakah naib presiden Umno itu akan diberi peluang menyampaikan ucapan penggulungan.
“Kalau peluang diberikan kepada Ismail Sabri untuk berucap, maka kita lihatlah nanti adakah dia mempunyai tulang belakang sekeras besi waja untuk muncul sebagai seorang perdana menteri yang berintergiti, atau hanya pemimpin kelas tiga saja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli parlimen Pasir Gudang itu menambah setakat ini imej Ismail Sabri boleh dianggap bersih kerana tidak terpalit dengan sebarang skandal atau dakwaan salah laku.
Ismail Sabri juga, katanya, selalu kelihatan tenang dan sabar.
“Pendirian ahli parlimen Bera yang menghormati kebebasan badan kehakiman dalam amalan pengasingan kuasa amat dihormati. Ini antara kekuatan Ismail Sabri.
“Tetapi jika esok Ismail Sabri tunduk dan mengalah kepada Ahmad Zahid Hamidi dan kluster mahkamah, maka punahlah masa hadapan satu-satunya pemimpin Umno yang kelihatan bersih dan boleh diterima rakyat Malaysia.
“Jika itu berlaku akan hancurlah Keluarga Malaysia dibaham harimau ganas kluster mahkamah,” katanya.
Bukan keputusan lima orang
Persidangan Agung Umno 2021 yang sedang berlangsung terus dilatari isu desakan agar pilihan raya umum (PRU) diadakan segera. Ia disuarakan secara terang-terangan oleh beberapa pemimpin tertinggi Umno termasuk Ahmad Zahid selaku presiden serta timbalannya Mohamad Hasan.
Namun ada kumpulan lain yang menganggap sekarang belum sesuai untuk diadakan PRU ke-15 kerana tumpuan perlu diberikan kepada isu lain termasuk menguruskan pandemik Covid-19 serta kesan yang ditanggung rakyat.
Kerajaan juga sudah menandatangani memorandum persefahaman dengan Pakatan Harapan yang sepatutnya mengikat mereka sehingga parlimen dibubarkan.
Pun begitu dalam MOU tersebut termaktub parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum 31 Julai ini.
Kata Hassan, Ismail Sabri mendapat pendidikan sebagai peguam, justeru dia tahu presiden Umno tidak memiliki locus standi untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar parlimen dibubarkan.
Pada masa sama kata Hassan, Ahmad Zahid boleh menjerit sekuat hati di dalam perhimpunan bagi menuntut parlimen dibubarkan tetapi itu tidak ada kesan pada undang-undang.
“Menurut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan Agong hanya boleh dinasihatkan untuk membubarkan parlimen sekiranya keputusan itu hasil mesyuarat perdana menteri dengan kabinet.
“Tentu sekali bukan keputusan PAU atau keputusan lima orang pucuk pimpinan tertinggi Umno,” katanya. [MK]