'Penolakan Agong, Tamparan Buat Muhyiddin' | Malaysia News

‘Penolakan Agong, tamparan buat Muhyiddin’

‘Penolakan Agong, tamparan buat Muhyiddin’

‘Penolakan Agong, tamparan buat Muhyiddin’

‘Penolakan Agong pada cadangan darurat tamparan buat Muhyiddin’

Beberapa anggota parlimen pembangkang menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah untuk tidak menerima permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi mengisytiharkan darurat.

Tindakan itu turut mendapat pujian dari segelintir ahli parti kerajaan pimpinan Muhyiddin sendiri.

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dari PKR berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat perdana menteri.

“Tetapi dalam isu darurat ini, Yang di-Pertuan Agong dengan berani menolak nasihat perdana menteri supaya darurat diisytiharkan kerana baginda faham jika diteliti dengan mendalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan kuasa budi bicara terletak pada tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda pada akhirnya mendapati selepas berunding dengan raja-raja Melayu bahawa syarat suatu darurat besar itu tidak wujud. Dengan kata lain baginda tidak berpuas hati.

“Dalam tradisi dan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, saya berpendapat penolakan Yang di-Pertuan Agong adalah satu tamparan kepada perdana menteri dan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan yang bermaruah yang perlu diambil oleh Muhyiddin ialah beliau sepatutnya segera meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin turut menyokong keputusan Agong yang dibuat selepas berunding dengan Raja-raja Melayu.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu telah melakukan perkara yang sangat bijaksana dengan tidak mengistyiharkan perintah darurat seperti yang dicadangkan oleh kerajaan.

“Keputusan Agong telah mengambil kira kepentingan rakyat yang sebenar-benarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini dikatakan cuba mencadangkan darurat bagi mengekang penularan Covid-19 namun pengkritik melihat ia sebagai usaha Muhyiddin untuk mempertahankan kuasanya selepas terdapat spekulasi ada anggota parlimen Umno yang mungkin tidak lagi menyebelahinya.

Sementara itu, Khaled turut berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong membuktikan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digunakan mengikut kehendak hati.

“Keputusan ini juga memaparkan keyakinan Yang di-Pertuan Agong terhadap keupayaan sistem kesihatan Malaysia dan kemampuan penjawat awam serta rakyat Malaysia dalam mengatasi krisis global ini,” katanya lagi.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pula menzahirkan rasa terima kasih susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Sistem raja berpelembagaan kita terbukti sebagai satu benteng utama mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia,” katanya lagi.

Lim turut berkata rakyat Malaysia, termasuk anggota parlimen perlu bersatu padu untuk memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Laporan terkini menunjukkan penurunan 465 kes jangkitan Covid-19 (sejumlah 823 kes untuk hari ini berbanding dengan 1,288 kes semalam) yang sepatutnya menjadi berita yang memberansangkan terutamanya para petugas barisan hadapan, dan seluruh rakyat Malaysia, untuk menggandakan usaha kita semua dalam mendatarkan lekuk penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah yang kini menjadi pusat penularan utama wabak ini.

“Semua ahli-ahli parlimen perlu fokus kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan dalam berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga merupakan anggota parlimen Kota Raja turut memuji keputusan Agong.

“Parti Amanah meyakini bahawa keputusan ini telah dibuat dengan penuh hemah dan kebijaksanaan dengan mengambilkira kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya dan kelangsungan kemakmuran negara,” katanya.

Mohamad turut berkata partinya bersedia untuk menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan memberi kerjasama penuh.

Muhyiddin telah mengadap Yang di-Pertuan Agong hari Jumaat lalu untuk mencadangkan darurat.

Yang di-Pertuan Agong hari ini mengadakan pertemuan bersama Raja-raja Melayu bagi berbincang susulan cadangan yang dikemukakan Muhyiddin.

Namun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.

Walaupun darurat tidak diisytiharkan, Agong mengingatkan ahli politik agar menghentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Pemuda Umno Shahril Hamdan turut merujuk kenyataan Agong untuk mengulangi gesaan untuk kurangkan bermain politik.

“Saya berharap agar ahli-ahli politik memberi perhatian sepenuhnya kepada belanjawan ini. Utamakan rakyat. Itu merupakan tanggungjawab utama sebagai pemimpin,” katanya lagi. [mk]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply