PH Dan Umno Dakwa Muhyiddin Membelakangkan Kuasa Agong | Malaysia News

PH dan Umno dakwa Muhyiddin membelakangkan kuasa Agong

Muhyiddin Yassin - Agong

PH dan Umno dakwa Muhyiddin membelakangkan kuasa Agong

Kuala Lumpur, MTN – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam ini menganggap Muhyiddin Yassin membelakangkan Yang di-Pertuan Agong semasa memberikan ucapan secara langsung petang tadi.

Dalam kenyataan dikeluarkan itu Majlis Presiden PH merujuk kepada dakwaan perdana menteri bahawa ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Muhyiddin dengan jelas membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua utama negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a),” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Perkara 43 (2)(a) itu merujuk kepada kuasa Agong untuk melaksanakan pertimbangan budi bicara baginda bagi melantik seorang ahli parlimen sebagai perdana menteri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Petang tadi Muhyiddin mendakwa dia tidak akan berundur dari jawatannya sebagai perdana menteri walaupun jumlah sokongan ahli parlimen terhadapnya dipertikaikan.

Hal itu kerana, kata ahli parlimen Pagoh itu, ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen yang dapat membuktikan dia memiliki sokongan majoriti untuk dilantik menjadi perdana menteri.

Ia dibuat ketika Muhyiddin sedang diasak dengan hebat oleh pembangkang serta Umno – yang sesetengah ahli parlimennya masih ada dalam kabinet presiden Bersatu itu – agar meletak jawatan.

Bukan di penghujung hayat politik

Menurut Majlis Presiden PH lagi Muhyiddin juga menjadi perdana menteri pertama dalam sejarah yang menawarkan “rasuah secara terang-terangan” melalui siaran secara langsung di televisyen.

Tawaran itu, kata mereka, dibuat di hadapan seluruh rakyat Malaysia.

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri mengakui kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang,” katanya merujuk kepada pelbagai janji yang diikrarkan Muhyiddin.

Antara tawaran ‘pembaharuan’ disebut Muhyiddin ialah menggubal perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan seseorang perdana menteri menjadi dua penggal saja, melaksanakan Undi 18 dan mengangkat taraf ketua pembangkang parlimen seperti menteri kanan.

Muhyiddin juga menjanjikan peruntukan yang sama kepada ahli parlimen pembangkang – sama seperti apa dinikmati ahli parlimen kerajaan – jika mereka menyokong usul percaya yang akan dibawa ke sidang parlimen tidak lama lagi.

Menurut Majlis Presiden PH, dengan pengakuan terbuka bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti di parlimen, dia wajib meletak jawatan seperti terkandung dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian, PH mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Muhyiddin yang sepatutnya dibuat lebih awal, bukannya di penghujung hayat politik beliau.

“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat, bukan kerjaya politik Muhyiddin.

“Sebaliknya, PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19.

“Kami yakin mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian mereka,” katanya.

Sementara itu Umno pula mengingatkan Muhyiddin kepada sumpah jawatan yang diucapkannya sebelum ini, iaitu memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhyiddin tidak wajar ‘merampas’ kuasa Agong dalam menentukan urusan pelantikan perdana menteri.

“Justeru Umno tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu.

Pada masa sama Ahmad Zahid menasihatkan rakyat agar bertenang sehingga Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab baginda mengikut perlembagaan bagi melantik perdana menteri baru.

“Umno juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 15 ahli parlimen Umno yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela institusi raja dan perlembagaan negara,” katanya. [MK]

Kenyataan Media PH

Kenyataan Media UMNO

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply