PH Tuntut Speaker, Ubah 3 Perkara Atau Letak Jawatan | Malaysia News
August 6, 2021
Speaker Dewan Rakyat - Azhar Azizan Harun

PH tuntut Speaker, Ubah 3 Perkara atau Letak Jawatan

Kuala Lumpur, MTN – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun membuat beberapa perubahan pada sesi parlimen khas yang akan datang.

PH berkata, keputusan kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas itu tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja.

“Sidang khas ini tiada perbahasan ke atas sebarang usul, hanya setakat mendengar kuliah Menteri, dengan kehadiran jumlah Ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap, dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.

“Maka jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ia tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut,” kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, presiden Amanah Mohamad Sabu, dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Advertisement

Sehubungan itu PH menggesa Azhar tidak meletakkan had 80 orang dan membenarkan semua ahli parlimen hadir di Dewan Rakyat pada bila-bila masa mesyuarat berjalan.

Selain itu PH juga menggesa Azhar membenarkan perbahasan penuh berasaskan usul menteri untuk semua isu yang telah dinyatakan dalam titah Agong, termasuk Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Ketiga katanya, Azhar perlu memutuskan sama ada dia menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

“Jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan,” kata mereka.

Kenyataan Media PH - Tuntut Speaker

Kenyataan Media PH - Tuntut Speaker

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •