PRN Johor - UMNO Ambil Kesempatan Dalam Kesempitan Rakyat | Malaysia News
UMNO - BN

PRN Johor – UMNO ambil kesempatan dalam kesempitan rakyat

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor mengkritik Umno kerana mencetuskan pilihan raya DUN, berkata ia adalah satu helah untuk mengambil kesempatan daripada keadaan semasa apabila sukar untuk pengundi kembali ke negeri itu.

Mereka menegaskan bahawa pada ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pilihan raya apabila mengambil kira virus Covid-19, varian Omicron, bencana banjir dan isu ekonomi yang sedang dihadapi rakyat.

PH Johor juga melihat tindakan mencetuskan PRN oleh Umno sebagai helah untuk ambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

“Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

“Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?” kata pemimpin PH Johor Aminolhuda Hassan (Amanah), Syed Ibrahim Syed Noh (PKR) dan Liew Chin Tong (DAP) dalam satu kenyataan bersama.

Selain itu, mereka menyifatkan PRN itu sebagai pembaziran wang rakyat.

“Malah pelaksanaan pilihan raya negeri yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah satu pembaziran wang rakyat.

“Malangnya Umno tidak menjiwai rakyat yang berada dalam keadaan susah. Ini adalah pilihan raya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

“Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini,” kata mereka.

Johor State Assembly

Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan semalam, membuka jalan kepada PRN ketiga sejak 2020. Kerajaan pimpinan Umno mempunyai majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding pembangkang 27 kerusi.

Umno kini memegang 14 kerusi, MIC dua kerusi, Bersatu 11 kerusi dan PAS satu kerusi. Jika BN dan PN bersaing sebagai gabungan berasingan seperti yang mereka lakukan di Melaka, ia boleh memberikan kelebihan kepada Umno.

Aminolhuda berkata semalam bahawa PH telah melibatkan Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) dalam perbincangan mengenai pakatan yang berpotensi untuk menghadapu PRN berkenaan.

Aminolhuda, yang juga Adun Parit Yaani, berkata mereka akan bergantung kepada rekod baik kerajaan negeri pimpinan PH selama 22 bulan.

Sebelum ini, PRN diadakan di Sabah dan Melaka selepas wakil rakyat lompat parti.

PRN juga diadakan di Sarawak selepas DUN tamat penggal tahun lepas. [MK]

Facebook Comments